Ahad, 28 Disember 2008

PAS mahu Manikavasagam turut lepaskan kerusi MP Kapar

MSTAR ONLINE


SHAH ALAM: PAS mahu Ahli Parlimen Kapar, S. Manikavasagam yang dipercayai akan keluar Parti Keadilan Rakyat (PKR) sebelum Rabu ini turut melepaskan jawatan anggota Dewan Rakyat.

Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang berkata, oleh kerana pengundi kawasan Kapar telah memilih Manikavasagam berdasarkan parti iaitu PKR, beliau seharusnya melepaskan kerusi Ahli Parlimen. Manikavasagam dijangka mengumumkan pendirian rasmi sebelum Rabu ini.

Ketika ditanya sama ada tindakan Manikavasagam itu sekarang satu keputusan yang betul selepas dipilih sebagai Ahli Parlimen atas tiket PKR pada 8 Mac lalu, Abdul Hadi berkata:

"Ia adalah tidak adil dan ia menunjukkan beliau tidak ada prinsip," kata beliau di sini semalam.

Dalam pada itu, Ahli Dewan Undangan Negeri kerusi Pandamaran, Ronnie Liu dari DAP pula memberitahu, beliau akan menghubungi Manikavasagam untuk memintanya kekal terus dalam PKR.

Ketika dihubungi The Star, perselisihan faham sentiasa wujud di kalangan anggota parti.

"Petuanya ialah belajar untuk menerima perbezaan pandangan dan mendapatkan matlamat bersama untuk terus bekerja," kata Liu.

Manikavasagam juga katanya, perlu mengambil kira keadaan bahawa beliau kemungkinan tiada sumber atau sokongan sebagai Ahli Parlimen Bebas untuk berkhidmat untuk pengundi di kawasannya.

Ahli Majlis Tertinggi PKR, Dr. Xavier Jayakumar berkata, pemimpin-pemimpin parti sedang mengadakan perbincangan dengan Manikavasagam untuk menyelesaikan masalah berkenaan.

"Kami tidak mahu sesiapa meninggalkan parti dan saya berharap apa juga perbezaan yang wujud boleh diselesaikan," kata beliau yang juga Exco Selangor.

Tiada ulasan: