Rabu, 24 Disember 2008

MIC pertimbang tindakan disiplin, Muthupalaniappan tekad cabar Samy

Oleh G. MANIMARAN
[DIKEMAS KINI]


PETALING JAYA: Bekas Naib Presiden MIC, Datuk M. Muthupalaniappan bertekad untuk mencabar Datuk Seri S. Samy Vellu walaupun kedengaran desas-desus beliau akan dikenakan tindakan disiplin ekoran dakwaan beberapa kenyataan mengkritik kepimpinan Presiden MIC itu.

"Saya tetap akan bertanding kerana jika tidak, kewibawaan saya akan terjejas... saya akan tetap bertanding," kata beliau ketika dihubungi mStar Online lewat petang ini.

Muthupalaniappan tidak menafikan beliau juga ada mendengar desas-desus beliau bakal dikenakan tindakan disiplin.

Bagaimanapun katanya, beliau sehingga hari ini tidak menerima apa-apa surat berkaitan perkara tersebut.

"Ia mungkin khabar angin semata-mata. Saya tidak melakukan apa-apa yang memudaratkan parti sehingga memaksa mereka mengambil tindakan (disiplin)," katanya.

Laporan Bernama menyebut bahawa Jawatankuasa Kerja Pusat MIC sedang menimbangkan tindakan disiplin terhadap Muthupalaniappan yang berhasrat bertanding jawatan Presiden parti tahun depan atas dakwaan mengeluarkan kenyataan yang bertentangan dengan kepentingan parti politik terbesar kaum India di negara ini.

Muthupalaniappan mengumumkan hasrat bertanding jawatan itu sebulan lalu dan sejak itu telah mengeluarkan beberapa kenyataan berkaitan parti.

Bekas Pengerusi MIC Negeri Sembilan dan Exco itu berkata, beliau hanya menawarkan hasrat untuk bertanding dan memberikan kepimpinan yang lebih baik kepada ahli, parti dan masyarakat India.

Sehubungan itu, kata Muthupalaniappan, beliau yakin parti tidak akan bertindak sedemikian buat masa sekarang khususnya ketika parti berada dalam keadaan tidak kukuh selepas pilihan raya umum Mac lalu.

"Sebaliknya saya telah meminta parti membawa masuk pemimpin-pemimpin dan ahli MIC yang telah dipecat dan dibuang demi keutuhan parti. Ini bukan masa mengambil tindakan ke atas mana-mana pemimpin," katanya.

"Letakkan kepentingan nasional terlebih dahulu berbanding kepentingan peribadi," katanya.

Sumber mendedahkan mesyuarat bulanan CWC, dipengerusikan Samy Vellu Khamis lalu telah memutuskan perkara itu diteliti oleh Jawatankuasa Disiplin parti yang diketuai veteran parti Tan Sri G. Vadiveloo.

Samy Vellu, Presiden MIC paling lama berkuasa, mahu mempertahankan kerusinya awal tahun depan.

Ketika dihubungi Bernama hari ini, Vadiveloo tidak menafikan atau mengesahkan sama ada Muthupalaniappan sedang disiasat kerana mengeluarkan kenyataan yang bertentangan dengan kepentingan parti, hanya berkata: "Saya tidak boleh komen mengenainya".

Sementara itu, Setiausaha Akhbar Muthupalaniappan, V. Thiagarajan berkata, Muthupalaniappan telah menulis surat kepada Samy Vellu dan setiausaha agung parti merayu agar cawangan baru tidak ditubuhkan tahun ini kerana pemilihan parti dijadual pada 2009.

"Tetapi kami masih belum menerima jawapan kepada perkara itu, jadi kami perlu lihat dulu," katanya.

Perebutan bagi jawatan presiden MIC akan diputuskan oleh ketua cawangan parti, yang akan mengundi bagi memilih presiden parti.

Jawatan timbalan presiden, tiga naib presiden dan 23 anggota Jawatankuasa Kerja Pusat akan dipilih oleh kira-kira 1,500 perwakilan bahagian pada perhimpunan agung parti yang akan diadakan kemudian.

Tiada ulasan: