Rabu, 24 Disember 2008

Kapten Zahar sertai PAS: Hijrah bermakna untuk PAS Selangor

Wan Nordin Wan Yaacob & Irwan Muhammad Zain


KUALA LUMPUR - Keputusan Kapten (B) Dato' Zahar Hashim menyertai PAS disifatkan sebagai sesuatu yang cukup bermakna kepada PAS Selangor menjelang sambutan Maal Hijrah Isnin depan.

Timbalan Presiden PAS, Ustaz Nasharuddin Mat Isa berkata demikian selepas menerima borang keahlian penyertaaan bekas Ketua Umno Bahagian Petaling Jaya selatan bersama 28 ketua cawangan dan 13 ahli jawatankuasa bahagian berkenaan pagi tadi di De Palma Hotel, Ampang.

Turut hadir dalam majlis itu Pesuruhjaya PAS Selangor, Dato' Dr Hassan Ali dan Ketua Penerangan PAS Selangor Roslan Shahrir.

Nasharuddin juga menegaskan semangat Hijrah tahun ini juga amat bermakna kepada Zahar dan rakan-rakannya.

Selain itu Nasharuddin berkata, penyertaan Zahar yang amat bersesuaian dengan semangat Hijrah yang diraikan oleh umat Islam.

"Hari ini kita menyambut mereka bukan sebagai rakan tetapi sebagai ahli keluarga yang bersama berjuang bagi memastikan PAS menjadi parti yang diyakini seluruh rakyat Malaysia," kata Nasharuddin.

PAS kata beliau sentiasa membuka pintu kepada individu yang ikhlas mahu berjuang bagi memastikan perjuangan parti mahu menegakkan keadilan di negara ini tercapai.-azm _

Tiada ulasan: