Jumaat, 26 Disember 2008

Bilangan pengguna jalur lebar meningkat

UTUSAN ONLINE


KUALA LUMPUR - Nokia Siemens Networks (Nokia Siemens) peneraju pengatur rangkaian jalur lebar berkelajuan tinggi mudah alih (HSPA) menjangka bilangan pengguna perkhidmatan itu di Asia akan meningkat sekali ganda kepada 53.5 juta pengguna daripada 26.5 juta dalam tempoh 12 bulan akan datang.

Pengarah Negara (Malaysia) Nokia Siemens, Bill Chang berkata, pertumbuhan permintaan terhadap perkhidmatan akses jalur lebar tanpa wayar itu disumbangkan oleh konsumer dan perniagaan.

"Tahun 2008 merupakan tahun yang terbaik untuk Nokia Siemens dan kami berharap dapat meneruskan kedudukan itu pada tahun depan dengan kejayaan perkhidmatan HSPA 3G dan menjadi vendor terbesar di dunia.

"Pengenalan khidmat pengalihan nombor mudah alih (MNP) serta perkhidmatan jalur lebar tanpa wayar di kawasan pendalaman serta meningkatnya kelajuan jalur lebar di dalam bandar juga akan membantu meningkatkan pertumbuhan,'' kata Chang.

Chang berkata, penggunaan WiMax yang semakin popular juga akan meningkatkan penggunaan data serta peningkatan Infrastruktur Jalur Lebar Kebangsaan dan peningkatan rangkaian utama juga akan menarik minat pengguna dan perniagaan untuk akses internet.

"Dengan potensi pertumbuhan, pengendali telekomunikasi akan berusaha untuk meningkatkan perolehan atau simpanan daripada potensi perniagaan baru dengan memasuki secara agresif seperti televisyen mudah alih, IPTV dan sebagainya.

"Kami juga menyaksikan penggunaan 3G semakin mendapat sambutan dengan pengguna menerima dan menghantar data menggunakan rangkaian 3G,'' katanya.

Chang berkata, Malaysia masih belum menerima kesan ketara kemerosotan ekonomi sejagat terhadap kadar penembusan jalur lebar masih rendah di negara ini berbanding negara-negara maju dan kerajaan perlu meningkatkan infrastruktur jalur lebar.

"Komunikasi merupakan perkara yang penting dan kehidupan dan permintaan terhadapnya akan terus meningkat.

"Setiap teknologi dan perkhidmatan baru, apabila pengguna mengalami serta menyedari nilai serta kelebihan kita bakal menyaksikan momentum pertumbuhan,'' jelasnya.

Tiada ulasan: