Isnin, 29 Disember 2008

'Alu-alukan' kehadiran Ezam bersama 6 kotak rahsia - AMK

Harakahdaily


KUALA TERENGGANU - Angkatan Muda KeADILan (AMK) Terengganu mengalu-alukan kehadiran bekas ketuanya, Ezam Mohd Nor untuk berkempen dalam Pilihanraya Kecil Parlimen (PRK) Kuala Terengganu dengan turut membawa 6 kotak rahsia besarnya.

Ketua AMK Terengganu, Fariz Musa berkata demikian ketika diminta mengulas kenyataan Ezam yang dikatakan telah dijemput oleh calon Barisan Nasional Senator Dato' Wan Farid Wan Salleh bagi membantunya kerana pertarungan yang sengit dalam pilihan raya kecil kali ini.

"Kita (AMK Terengganu) meminta supaya Ezam datang bersama 6 kotak yang pernah didakwa oleh beliau berkaitan rasuah dan penyelewengan pimpinan Umno dan BN.

"Rakyat seluruh Malaysia pernah diberitahu oleh Ezam ketika menjadi Ketua AMK Malaysia, mempunyai 6 kotak bukti rasuah dan penyelewangan UMNO /BN," kata Fariz ketika ditemui Buletinonline semalam.

Beliau berkata sekiranya Ezam masih konsisten dan serius dalam menentang rasuah maka PRK Kuala Terengganu adalah medan yang terbaik untuk beliau mendedahkan rahsia 6 kotak masih menjadi tanda tanya.

"Integriti dan kredibiliti Ezam akan kembali pulih selepas menyertai Umno semula dengan mendedahkan 6 kotak dokumen rasuah dan penyelewengan Umno- BN,

"Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia telah pun dibentuk dan diluluskan oleh Parlimen seharusnya digunakan sebaik mungkin untuk mendedahkan kekotoran dalam Umno- BN," katanya.

Ezam pada Mei lalu, menyertai semula Umno setelah menjadi pemimpin muda KeADILan selama satu dekad dengan alasan kononnya menyokong Perdana Menteri Dato' Seri Abdullah Ahmad Badawi menentang rasuah. - azm _

Tiada ulasan: