Ahad, 30 November 2008

Zaid Ibrahim mesti perjelas kehadirannya di Kongres PKR, kata Muhyiddin

BERNAMA


KOTA KINABALU: Bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Mohd Zaid Ibrahim (gambar) mesti memberi penjelasan berhubung kehadirannya pada Kongres Parti Keadilan Rakyat (PKR) di Shah Alam semalam, kepada Lembaga Disiplin Umno sebelum tindakan dikenakan terhadapnya.

Naib Presiden Umno Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata kehadiran Zaid pada kongres berkenaan bukanlah kali pertama beliau menghadiri perhimpunan anjuran pembangkang dan tindakan itu membuktikan ketidaksetiaannya kepada Umno.

"Kehadirannya dalam perhimpunan yang dianjurkan oleh pembangkang tidak masuk akal. Ini (kehadiran Zaid) dilihat seperti memberi sokongan moral kepada pembangkang.

"Beliau mesti memberi penjelasan kenapa beliau menghadiri kongres itu. Beliau perlu bertanggungjawab terhadap tindakannya," kata Muhyiddin, yang juga Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, kepada pemberita semasa sesi bertemu Ketua Pengarang dan Ketua Biro media nasional serta tempatan di Sabah, di sini hari ini.

Menurut laman web Malaysian Insider, Zaid mendakwa beliau masih merupakan anggota Umno dan tidak melihat pembangkang sebagai musuh.

Zaid juga berkata kehadirannya di kongres berkenaan menunjukkan beliau masih berminat dalam politik dan tidak menjangkakan akan dipecat daripada Umno.

Tiada ulasan: