Sabtu, 29 November 2008

Syed Husin tegur AMK yang kurang bersedia terima ahli baru

BERNAMA


SHAH ALAM: Timbalan Presiden Parti Keadilan Rakyat Dr Syed Husin Ali hari ini menegur segelintir anggota Angkatan Muda Keadilan (AMK) dan Wanita Keadilan di peringkat bahagian dan cawangan yang lebih mengutamakan kepentingan diri dan kurang bersedia menerima ahli baru.

Beliau berkata acapkali kumpulan ini tidak suka melihat kemunculan pimpinan baru yang lebih baik dan mereka tidak begitu bersedia menerima baik kemasukan ahli baru yang ramai kerana bimbang kedudukan mereka terancam.

"Pimpinan mereka sering lemah, kurang inisiatif dan tidak begitu cekap bekerja secara berpasukan. Kadang-kadang ia didominasi oleh seorang atau sekumpulan kecil yang membuat keputusan sendiri tanpa perbincangan," katanya ketika merasmikan Kongres Wanita dan Angkatan Muda Parti Keadilan Rakyat di sini hari ini.

"Maafkan saya kerana berterus terang sedikit menyatakan pandangan serta perhatian saya bahawa beberapa kelemahan dan kecenderungan negatif dalam parti kadangkadang lebih ketara lagi di kalangan Angkatan Muda dan kurang sedikit di kalangan Wanita. Jangan marah Angkatan Muda Keadilan, ini boleh dibaiki lagi," katanya.Dr Syed Husin berharap pimpinan pusat Wanita Keadilan dan AMK mengukuhkan tradisi membuat keputusan dan menjalankan aktiviti secara kolektif.

"Memang diakui seorang atau sekumpulan pemimpin yang aktif dan dominan boleh menjadi aset yang bernilai dalam parti, akan tetapi proses membuat keputusan di kalangan pemimpin perlulah dilakukan secara perundingan dan berasaskan cara yang demokratik," katanya.

Dr Syed Husin mahu Wanita Keadilan dan AMK merapati dan menarik semua golongan dalam masyarakat daripada petani dan buruh membawa kepada profesional serta intelek bahkan juga korporat.

Lebih ramai bukan Melayu atau bukan Islam perlu ditarik menjadi anggota dan pemimpin Wanita dan AMK di mana seboleh-bolehnya komposisi mereka harus mencerminkan nisbah bilangan penduduk.

Pada sidang akhbar kemudian, Dr Syed Husin berkata dalam beberapa bulan lepas PKR menerima hampir 100,000 ahli baru.

Tiada ulasan: