Rabu, 26 November 2008

Retreat kedua Pakatan Rakyat fokus isu Selangor dan Perak

Oleh ARIFFUDDIN ISHAK


KUALA LUMPUR: Retreat kedua Pakatan Rakyat yang diadakan dua minggu berturut-turut pada malam ini memfokuskan mengenai cabaran yang dihadapi di dua negeri pembangkang iaitu Selangor dan Perak yang dianggap berhadapan dengan masalah yang sama.

Ketua Penerangan Parti Keadilan Rakyat (PKR), Tian Chua berkata, pada perjumpaan yang berlangsung selama hampir tiga jam itu memberi peluang kepada Menteri Besar kedua-dua negeri berkenaan membentangkan mengenai pelaksanaan dan prestasi kerajaan negeri masing-masing.

"Di Perak khususnya di mana bilangan ADUN BN (Ahli Dewan Undangan Negeri Barisan Nasional) yang agak seimbang dengan kerajaan negeri iaitu pemerintah.

"Kita juga menghadapi banyak rintangan kuat daripada BN dan kita harus menghadapi banyak isu seperti manipulasi media dan lain-lain lagi," katanya ketika ditemui selepas menghadiri retreat berkenaan.

Hadir sama dalam pertemuan berkenaan ialah Ketua Umum Pakatan Rakyat, Datuk Seri Anwar Ibrahim, Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim, Menteri Besar Perak, Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin, Presiden PKR, Datuk Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail, Setiausaha Agung PAS, Datuk Kamaruddin Jaafar, Timbalan Pengerusi DAP, Dr. Tan Seng Giaw dan pemimpin-pemimpin Pakatan Rakyat yang lain.

Ditanya sama ada wujudnya ura-ura ahli Pakatan Rakyat akan lompat parti menyertai BN di Perak, beliau berkata: "Tidak, saya anggap ini tidak ada isu, saya tak percaya dan sungguh yakin ini tak berlaku...kalau adapun mungkin yang lompat kesebelah sini," katanya sinis.

Ketika diminta mengulas sama ada kedua-dua negeri berkenaan dianggap goyah kerana sering menghadapi tekanan daripada BN yang kini menjadi pembangkang, beliau menafikan mengenai perkara tersebut.

"Bukan...bukan, inilah (negeri) yang paling dekat. Malam ini kita fokus dua negeri sahaja.

"Kalau tidak sampai tengah malam pun tidak habis, lepas ini akan ada lagi (pertemuan) Pulau Pinang, Kelantan dan Kedah...semua ada," katanya.

Jelas beliau lagi pemilihan kedua-dua negeri ini juga berdasarkan komposisi kaum yang hampir sama bagi negeri-negeri berkenaan.

Ditanya antara masalah yang dibangkitkan dalam perjumpaan tertutup itu beliau berkata masalah utamanya ialah kerenah birokrasi kerajaan persekutuan, media dan politik perkauman.

"Kita hadapi masalah birokrasi, kita juga harus sentiasa hadapi media yang sensasikan dasar yang kita buat dan politik perkauman yang tebal...semua ini ialah perkara yang kita harus hati-hati," katanya.

Menyentuh mengenai kerenah birokrasi, ahli Parlimen Batu itu turut menjelaskan bahawa perlunya reformasi secara berperingkat bagi menghadapi masalah dalam institusi kerajaan.

Tambah beliau, secara dasarnya Pakatan Rakyat mengakui masih wujud banyak kelemahan yang perlu diperbaiki pada masa-masa akan datang.

"Walau apapun kita puas hati dengan pencapaian kita sekarang sungguhpun tak kritikal, kita akui banyak lagi kelemahan yang harus diatasi," katanya.

Bagaimanapaun jelasnya beliau percaya kaedah terbaik untuk menangani masalah yang timbul adalah dengan cara mengeratkan hubungan dalam Pakatan Rakyat melalui majlis dialog dan komunikasi berterusan.

"Kita ada beberapa rancangan Januari depan untuk adakan lebih banyak perjumpaan di semua peringkat iaitu nasional, negeri dan akar umbi.

"Malah minggu depan juga ada lagi, tapi agendanya akan kita tetapkan nanti," katanya.

Tian Chua juga menjelaskan bahawa satu perjumpaan besar melibatkan semua pemimpin Pakatan Rakyat akan diadakan di Port Dickson pada tahun hadapan yang akan turut menghimpunkan kesemua Menteri Besar dari semua negeri yang dikuasai pembangkang.

Sementara itu, ahli Parlimen Kuantan, Fuziah Salleh turut menjelaskan bahawa pertemuan kedua pemimpin Pakatan Rakyat selepas yang pertamanya pada hari yang sama minggu lalu menyentuh mengenai mekanisme memperkukuhkan pakatan itu.

"Ini menunjukkan kita serius dalam Pakatan Rakyat untuk membina muafakat dan bertukar-tukar idea serta memaklumkan mengenai perkembangan terkini politik di kedua-dua buah negeri berkenaan," katanya.

Tambah beliau pertemuan seumpama itu juga perlu bagi membina persefahaman antara komponen-komponen dalam pakatan pembangkang itu.

"Ini tidak berlaku dalam BN, hanya dalam Pakatan Rakyat iaitu kita sentiasa biarkan maklumat sampai ke akar umbi," katanya.

Tiada ulasan: