Jumaat, 28 November 2008

Polis boleh rampas dan musnahkan topi keledar palsu di bawah undang-undang baru

BERNAMA


KUALA LUMPUR: Polis mempunyai kuasa untuk merampas dan memusnahkan topi keledar yang tidak mematuhi standard SIRIM di bawah undangundang baru berkaitan topi keledar yang sedang dirangka oleh Jabatan Keselamatan Jalan Raya (JKJR) dengan kerjasama pihak polis.

Ketua Pengarah JKJR Datuk Suret Singh berkata undang-undang baru itu bertujuan membanteras penjualan dan penggunaan topi keledar palsu yang dibuat daripada bahan yang rapuh dan tidak mampu melindungi kepala pengguna motosikal.

Ketika ditemui selepas mengetuai Kempen Advokasi Keselamatan Jalan Raya di Plaza Tol Lebuhraya Damansara-Puchong Hentian Sebelah Puchong Selatan di sini hari ini, beliau berkata topi keledar yang tidak diiktiraf SIRIM dijual dan digunakan secara meluas di Malaysia dan keadaan itu perlu dibendung segera.

"Harga topi keledar yang mendapat standard SIRIM tak jauh beza dengan harga topi keledar berfesyen tapi tak berkualiti, jadi tiada sebab mengapa orang ramai tak boleh membeli yang berkualiti," katanya.

Advokasi dan pendidikan juga perlu dilaksanakan bagi memberi kesedaran kepada pengguna motosikal supaya menggunakan lorong motosikal khas dan memandu tidak melebihi had laju 60 km sejam, katanya.

Beliau berkata kempen kali ini, yang mempromosikan isu-isu keselamatan jalan raya terutama bagi golongan berisiko tinggi iaitu para penunggang dan pembonceng motosikal, mendapat sokongan dan kerjasama kelab motosikal.

"Kami mahu penunggang motosikal sendiri mendekati dan mempengaruhi penunggang lain dalam mengamalkan pemanduan yang selamat," katanya.

Selain itu, Suret berkata ibu bapa dan guru mestilah bertanggungjawab dengan melarang remaja di bawah umur atau tidak mempunyai lesen menunggang motosikal.

Beliau juga menasihatkan orang ramai supaya merancang perjalanan dan sentiasa mengikuti had laju yang ditentukan terutamanya pada musim cuti sekolah dan perayaan ini.

Tiada ulasan: