Ahad, 23 November 2008

Muslimat PAS perlu proaktif,kreatif dekati masyarakat

Nyza Ayob


KUALA LUMPUR - Muslimat mestilah menjadi tempat rujukan masyarakat untuk mendapatkan ilmu, memohon pertolongan serta sentiasa bersiap siaga untuk menghulurkan bantuan serta berdakwah kepada masyarakat pada bila-bila masa dan di mana jua.

Itulah antara harapan Ketua Dewan Muslimat PAS Wilayah Persekutuan, Ustazah Nuridah Salleh yang disuarakan dalam ucapan aluannya sempena sambutan Jubli Perak Dewan Muslimat PAS Wilayah Persekutuan, semalam.

Bersesuaian dengan tema,'Muslimat Mendepani Cabaran Kota raya', dalam ucapannya juga Nuridah mengharapkan agar semua muslimat di Wilayah Persekutuan bersikap lebih proaktif dan kreatif dalam melaksanakan aktiviti untuk mendekati masyarakat.

Selain itu, sempena sambutan Jubli Perak ini juga Nuridah menyeru semua ahli dan kepiminan Dewan Muslimat PAS Wilayah Persekutuan bermuhasabah sama ada berpuas hati dengan segala aktiviti yang telah dilakukan.

"Tentunya kita tidak berpuas hati. 25 tahun juga merupakan usia matang bagi seseorang. Jadi, Jadi sempena sambutan ini, inilah masanya untuk kita bermuhasabah untuk meningkatkan komitmen kita untuk mencapai matlamat perjuangan PAS.

"Tanggungjawab dakwah pula mesti dilakukan secara berjemaah atau bersama-sama dalam satu organisasi seperti contoh tauladan yang ditunjukkan oleh Rasulullah s.a.w. Sehubungan itu usaha menggembleng tenaga dan idea perlu diteruskan secara konsisten supaya benar-benar dapat mencapai piawaian Allah,"katanya.

Sambutan yang bertempat di padang awam, Flat Seri Labuan, Bandar Tun Razak, itu dirasmikan oleh Pesuruhjaya PAS Wilayah Persekutuan, Mohamad Noor Mohamad.

Antara tetamu yang hadir ialah Naib Presiden PAS, Mohamad Sabu; Ahli Parlimen Titiwangsa, Dr Lo'lo' Ghazali; Timbalan Pesuruhjaya PAS III Wilayah Persekutuan, Salbiah Wahab serta mantan Pesuruhjaya PAS Wilayah Persekutuan, Subky Latif.

Pada sambutan itu juga, Anugerah 'Jasamu dikenang' dikurniakan kepada seramai lapan orang mantan Ketua dan Setiausaha Dewan Muslimat PAS Wilayah Persekutuan. Mereka yang menerima anugerah ialah Adibah Baharudin (Ketua Penaja dan Setiausaha 1983), Allahyarham Ustazah Hayati Hassan (Ketua Penaja dan Ketua Dewan Muslimat PAS Wilayah Persekutuan-1983-1997), Kamar Ainiah Kamaruzzaman (Setiausaha Penaja) dan Siti Alauyah Harun (Setiausaha 1987-1991).

Turut menerima anugerah ialah Faizah Ismail (Setiausaha 1987-1991), Sakinah Awang ( Setiausaha 1991-1997 dan 1999-2001), Julia Yaacob (1997-99) dan Rahmah Suraji (2001-2007).

Kemuncak sambutan Jubli Perak Dewan Muslimat PAS Wilayah Persekutuan ini ialah acara 'Ladies Night' yang bertempat di Dewan Ballroom, Anjung Rahmat, Jalan Gombak, Selangor, malam tadi. - mks._

Tiada ulasan: