Jumaat, 21 November 2008

MIC adakan mesyuarat CWC, tidak benar media

BERNAMA


Kebiasaannya sidang akhbar diadakan selepas mesyuarat CWC tetapi kali ini presidennya Datuk Seri S. Samy Vellu memutuskan untuk tidak melayan soalan dari pihak media.

Malah parti itu akan hanya mengeluarkan kenyataan menyentuh pelbagai isu yang dihadapi oleh masyarakat India di negara ini kecuali isu peralihan kuasa dan politik dalaman parti itu.

Selepas Samy Vellu mengumumkan akan melepaskan jawatan presiden yang disandang sejak 1979 selepas pemilihan parti September tahun depan, MIC dilanda dengan pelbagai spekulasi mengenai calon yang bakal menggantikan pemimpin tertinggi itu.

Samy Vellu juga turut mengesahkan bahawa beliau akan mempertahankan jawatannya pada pemilihan presiden pada Mac depan.

Ketika ini, bekas naib presiden MIC, Datuk M. Muthupalaniappan telah mengumumkan hasratnya untuk mencabar Samy Vellu bagi jawatan tertinggi parti itu.

Ibu pejabat MIC hanya mengeluarkan kenyataan akhbar oleh Samy Vellu selepas beliau mempengerusikan mesyuarat CWC, yang sepatutnya membincangkan tarikh dan jawatankuasa pemandu pemilihan presiden.

Dalam kenyataan itu, Samy Vellu berkata, parti itu mencadangkan penubuhan jawatankuasa pelaksanaan dan penyelarasan bagi melaksanakan peruntukan RM50 juta oleh kerajaan untuk membina dan menaik taraf sekolah jenis kebangsaan Tamil di seluruh negara pada tahun depan.

"Jawatankuasa itu akan dipengerusikan oleh presiden MIC. Menteri Sumber Manusia dan Setiausaha Agung MIC Datuk Dr S. Subramaniam telah diberi tanggungjawab membentangkan cadangan jawatankuasa itu pada mesyuarat mingguan Kabinet untuk mendapatkan kelulusan.

"Menjelang 2011, kami mensasarkan sekurangkurangnya 60 peratus sekolah Tamil dibina semula atau naik taraf. Terdapat 523 buah sekolah Tamil di negara ini," kata Samy Vellu.

Mengenai ekuiti kaum India, Samy Vellu mahu kerajaan mempercepatkan pelaksanaan cadangan yang dikemukakan oleh parti itu kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi dan Timbalannya Datuk Seri Najib Tun Razak.

Antara cadangan tersebut penubuhan satu meksanisme di bawah Permodalan Nasional Bhd (PNB) untuk membantu golongan miskin masyarakat itu membeli saham menerusi 50 peratus geran dan 50 peratus pinjaman dari kerajaan.

Dalam permintaan parti itu supaya kerajaan mengambil kerja lebih ramai kaum India dalam perkhidmatan awam, Samy Vellu berkata, beliau telah menemui Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Sidek Hassan mengenai perkara itu Khamis lepas.

Bekas Menteri Kerja Raya itu juga berkata, beliau telah memulakan lawatan peribadi ke bahagianbahagian MIC dan membincangkan hala tuju dan proses penjenamaan semula parti itu.

Katanya, MIC mempunyai 145 bahagian dengan 3,700 cawangan di seluruh negara dengan jumlah keahlian mencecah 610,000 orang.

Tiada ulasan: