Rabu, 26 November 2008

Konsert Inul: Pemuda PAS Wilayah serah memorandum pada Jakim

Harakahdaily


PUTRAJAYA - Dewan Pemuda PAS Wilayah Persekutuan telah menyerahkan memorandum bantahan konsert Inul yang diwar-warkan akan diadakan pada 29 November 2008 ini di Bukit Jalil.

Memorandum tersebut yang dihantar kepada Ketua Pengarah Jakim, Dato' Wan Mohamad Dato' Sheikh Abdul Aziz telah diterima melalui Pegawai Perhubungan Awam Jakim, Najibah Mutalib pada kira-kira jam 10.20 pagi tadi.

Ketua Pemuda PAS Wilayah, Kamaruzaman hadir bersama dua orang exconya iaitu Suhaimi Abd Aziz dan Zulkarnain Borhan.

Ketika menyerahkan memorandum tersebut beliau sempat menyampaikan hasrat Pemuda PAS Wilayah supaya Jakim mengambil berat berkenaan hal ini, kerana ia berkaitan soal akhlak umat Islam.

Beliau tegas menyatakan bahawa persembahan Inul sangat bertentangan dengan adat ketimuran apatah lagi akhlak Islam.

Inul Daratista merupakan artis kontroversi di Indonesia mahupun di Malaysia. Genre muzik dan perwatakannya di pentas telah mengundang perasaan kurang senang di kalangan rakyat.

Ini juga dibuktikan oleh pendirian Majlis Ulama Indonesia (MUI) yang mengatakan bahawa 'gelek gerudi' Inul cenderung kepada aksi-aksi yang mengghairahkan serta penampilannya bertentangan dengan keputusan fatwa mengenai pornografi pada Julai 2002.

Pihak berkuasa Yogyakarta pula telah mengharamkan persembahannya kerana dikhuatiri akan menjatuhkan moral masyarakat yang berpendidikan dan bertamadun.

"Jika di Indonesia ia boleh diharamkan, mengapa Malaysia beria-ia membenarkan konsert tersebut. Ini hanya meletakkan sangat maruah Malaysia hina pada pandangan dunia Islam," katanya.

Di dalam memorandum yang dihantar Pemuda PAS Wilayah juga telah mengemukakan cadangan dan pendiriannya tentang perkara tersebut.

Selain itu Ketua Pemuda PAS Wilayah juga berharap dapat duduk bertemu dan berbincang dengan Ketua Pengarah Jakim bagi membincangkan berkaitan masalah yang melanda umat Islam. - mns_

Tiada ulasan: