Jumaat, 28 November 2008

Ketua AMK: Pemimpin PKR gagal tunai janji manifesto perlu diganti

BERNAMA


SHAH ALAM: Angkatan Muda Keadilan (AMK) Parti Keadilan Rakyat (PKR) akan memastikan pemimpin parti itu di negeri-negeri yang ditadbir Pakatan Rakyat yang gagal melaksanakan janji dalam manifesto pilihan raya diganti dengan pemimpin baru.

Ketua AMK Shamsul Iskandar Mohd Akin berkata antara janji yang dibuat itu ialah membersihkan kerajaan daripada pengaruh dan amalan rasuah.

"Sekiranya ada pemimpin kerajaan negeri Pakatan Rakyat teragak-agak, gentar untuk membuat perubahan, takut kepada risiko, kita tidak ada pilihan selain menuntut perubahan dalaman untuk menggantikan mereka dengan pemimpin yang benar-benar mampu memimpin dan membuat keputusan," katanya dalam ucapan dasar pada Kongres Nasional Tahunan AMK di sini hari ini.

Shamsul Iskandar juga mendesak pucuk pimpinan PKR memberikan peluang yang adil kepada pergerakan itu bagi memegang jawatan dalam kerajaan Pakatan Rakyat dan dalam parti.

"Jangan berselindung di sebalik alasan mudah iaitu tiada pengalaman. Apakah selepas tsunami politik kita (AMK) terus dipinggirkan?," katanya. Shamsul Iskandar mencadangkan agar kerajaan persekutuan mengadakan kongres ekonomi kebangsaan bagi membincangkan strategi baru untuk menghadapi krisis ekonomi dunia.

Katanya kongres itu perlulah melibatkan semua pihak tanpa mengira latar belakang atau fahaman politik.

"Kerajaan perlu bersikap terbuka dan bersedia mengaplikasikan pendekatan baru bagi meminimumkan impak kegawatan ekonomi," katanya.

Tiada ulasan: