Jumaat, 28 November 2008

Kerajaan negeri panggil peniaga, pengeluar arak

SINAR HARIAN ONLINE


PELABUHAN KLANG - Kerajaan negeri akan memanggil pengusaha kedai serbaneka, peniaga dan pengeluar arak di seluruh Selangor berhubung keputusan kerajaan negeri menguatkuasakan peraturan mengehadkan penjualan arak di negeri ini.

Pengerusi Jawatankuasa Tetap Perumahan, Pengurusan Bangunan dan Setinggan, Iskandar A Samad berkata, perkara tersebut perlu dibincangkan secara teliti dan keputusan memanggil pihak terbabit bertujuan untuk mencari kata sepakat berhubung peraturan itu.

“Kita akan memanggil pengusaha kedai serbaneka 24 jam, peniaga serta pengeluar arak di seluruh negeri ini bagi membincangkan perkara terbabit demi kepentingan semua pihak, kita akan panggil mereka dalam tempoh terdekat ini.

"Kerajaan perlu bertemu dan berbincang secara teliti dengan pihak berkaitan mengenai penjualan arak ini untuk mencari kata sepakat berhubung keputusan kerajaan negeri," katanya kepada media selepas merasmikan Program Publisiti dan Penyertaan Awam, Draf Rancangan Kawasan Khas Bandar Pelabuhan Klang, di sini semalam.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas keputusan kerajaan negeri mengehadkan penjualan alkohol kepada individu di bawah umur 18 tahun dan beragama Islam, tetapi tidak akan mengambil tindakan drastik mengharamkan penjualannya memandangkan negeri ini terdiri daripada rakyat pelbagai kaum.

Keputusan tersebut juga menyebut, kerajaan negeri juga akan mempertingkatkan tahap penguatkuasaan penjualannya selepas mengambil kira kebimbangan sesetengah pihak berhubung pengambilan alkohol melibatkan golongan muda dan masyarakat Islam.

Dalam pada itu, Iskandar berharap semua pihak wajar menghormati peraturan itu selepas dibincangkan dalam Mesyuarat Exco Kerajaan Negeri kelmarin kerana ia adalah salah satu pendekatan menangani masalah sosial di kalangan rakyat.

"Apa yang ditetapkan itu juga bukannya arahan Pas sebaliknya dasar kerajaan yang berusaha menangani masalah sosial kalangan generasi muda di negeri ini yang semakin membimbangkan.

“Arahan itu perlu dipatuhi sekiranya majoriti penduduk sesuatu kawasan majoritinya beragama Islam dan semua pihak perlu serius dengan apa yang telah ditetapkan," katanya.

Menurut Iskandar, penjualan arak di kawasan majoriti masyarakat Islam menjadi pertikaian kerana dari sudut agama kerana minuman alkohol adalah haram dan menjadi punca kepada pelbagai gejala sosial.

“Mengapa penjualan arak di tempat masyarakat Islam dibenarkan sedangkan ia haram di sudut agama,” katanya.

Sementara itu, Ketua Penerangan Pas Negeri, Roslan Shahir Mohd Sharir berkata, peraturan mengehadkan penjualan minuman keras bukannya perkara baru malah perkara sama telah diguna pakai kerajaan terdahulu (Barisan Nasional) menerusi Enakmen Pentadbiran Undang-Undang Islam Selangor.

"Perkara mengharamkan penjualan minuman mengandungi lebih lima peratus alkohol kepada orang Islam telah dipraktikkan kerajaan sebelum ini. Keputusan kerajaan (PR) hari ini adalah sebagai meneruskan penguatkuasaan terhadap peraturan sedia ada," katanya.

Tiada ulasan: