Selasa, 25 November 2008

Kedah cadang beri peruntukan khas kepada sekolah persendirian

BERNAMA


ALOR STAR — Kerajaan negeri Kedah akan membantu sekolah persendirian yang memerlukan bantuan melalui peruntukan khas, kata kata Menteri Besar Datuk Seri Azizan Abdul Razak.

Katanya peruntukan itu adalah daripada lebihan peruntukan Bajet 2009 kerajaan negeri yang dibentangkan minggu lepas.

“Kita ada peruntukan di bawah satu tajuk yang membolehkan bantuan kepada sekolah persendirian disalurkan,” katanya kepada pemberita pada majlis pecah tanah bagi projek membina asrama Sekolah Menengah Kebangsaan Keat Hwa (Persendirian) di sini hari ini.

Bagaimanapun kerajaan negeri perlu meneliti terlebih dulu lebihan kewangan sebelum dapat menyalurkan bantuan itu, katanya.

Azizan berkata bantuan tersebut mungkin boleh diberi dalam bentuk kemudahan peralatan, buku dan pembangunan fizikal berdasarkan keperluan sekolah-sekolah berkenaan.

Sementara itu ketika ditanya mengenai pelantikan Datuk Bandar Alor Star yang baru, beliau berkata beberapa nama telah dicadangkan bagi menggantikan Datuk Abdul Mukhti Abdullah yang telah tamat tempoh kontraknya baru-baru ini.

“Kerajaan akan umumkan nama calon tersebut selepas mendapat perkenan Sultan Kedah dan beliau dijangka mengangkat sumpah pelantikan pada 30 Nov ini,” katanya.

Tiada ulasan: