Ahad, 30 November 2008

Empat letupan gegar lokasi penunjuk perasaan

BERNAMA


BANGKOK: Sekurang-kurangnya empat letupan dan beberapa siri tembakan menggegarkan dua kawasan yang diduduki oleh penunjuk perasaan anti kerajaan dan sebuah stesen televisyen satelit di ibu negara ini awal hari ini, mencederakan kira-kira 50 orang.

Di Rumah Kerajaan, sebutir bom tangan dilontarkan sejurus selepas tengah malam dan jatuh berhampiran pentas utama tempat para pemimpin Perikatan Rakyat Untuk Demokrasi (PAD) memberi ucapan.

Sekurang-kurangnya tiga orang cedera parah, kata seorang pegawai polis kepada pemberita di hospital Ramathibody di sini.

PAD telahpun menawan Rumah Kerajaan, yang pernah menjadi Pejabat Perdana Menteri pada 26 Ogos, dan kini menguasai Lapangan Terbang Suvarnabhumi serta Don Muang sejak Isnin lepas.

Terdapat beberapa siri serangan di kawasan itu sejak beberapa minggu lepas, mengakibatkan dua orang terbunuh.

Dua letupan turut berlaku di stesen ASTV milik pemimpin PAD Sondhi Limthongkul pada masa tentera pro kerajaan meningkatkan usaha untuk menutup stesen berkenaan yang menyiarkan liputan 24 jam mengenai aktiviti pergerakan itu di tiga kemudahan kerajaan yang diduduki.

Kira-kira 4 pagi, sebutir bom meledak berhampiran sekatan daripada tayar yang diletakkan oleh para pengawal PAD di Lapangan Terbang Don Muang.

Meskipun telah mengisytiharkan darurat di kedua-dua lapangan terbang berkenaan, kerajaan berhempas pulas untuk menguatkuasakan perintah itu memandangkan tentera dan polis tidak bekerjasama.

Presiden Airports of Thailand (AOT) Serirat Prasutanon mengumumkan bahawa keduadua lapangan terbang itu akan terus ditutup sehingga Selasa. Penerbangan terhad kini beroperasi di Lapangan Terbang Utapao dekat Pattaya.

Ketegangan terus memuncak di ibu negara memandangkan kumpulan pro kerajaan Barisan Demokrasi Bersatu Menentang Diktator (UDD) akan menghimpunkan penyokongnya lewat hari ini di Sanam Luang.

Perdana Menteri Somchai Wongsawat, yang bimbangkan keselamatan dirinya, telah melarikan diri ke bandar raya utara Chiang Mai.

Tiada ulasan: