Isnin, 27 Oktober 2008

Turun minyak lagi

BERNAMA


PEKAN: Datuk Seri Najib Razak membayangkan kerajaan akan menurunkan lagi harga petrol dan diesel akhir bulan ini berikutan trend penurunan harga minyak dunia ketika ini.

Timbalan Perdana Menteri yang juga Menteri Kewangan berkata, Kabinet menyerahkan kepada exco Majlis Ekonomi yang dipengerusikan Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi, untuk membuat keputusan berhubung harga baru itu.

“Tunggulah, kita dah janji kalau harga minyak dunia turun, harga minyak petrol dan diesel tempatan akan melambangkan harga pasaran minyak yang sebenarnya.

“Beri sedikit masa untuk kerajaan membuat keputusan, kabinet sudah memberi mandat kepada exco Majlis Ekonomi yang dipengerusikan Perdana Menteri untuk membuat keputusan jika harga minyak dunia semakin menurun, minyak tempatan juga akan turun,” katanya selepas menyampaikan sumbangan kepada bakal haji kawasan Parlimen Pekan di kediamannya, di sini, semalam.

Ditanya sama ada kerajaan mungkin mengumumkan harga baru petrol dan diesel pada 30 Oktober atau 1 November ini seperti kenyataan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Datuk Shahrir Abdul Samad kelmarin, Najib berkata: “Tak bolehlah bagi tahu, tapi biasanya tak lama kita akan buat keputusan... lebih kurang begitulah (tarikh umumkan harga baru itu), tertakluk bila mesyuarat (Majlis Ekonomi) nanti.”

Harga minyak di pam turun tiga kali sejak Ogos lalu iaitu pada 23 Ogos, 24 September dan kali terakhir 15 Oktober.

Harga petrol Ron97 turun daripada RM2.70 seliter kepada RM2.55, RM2.45 dan RM2.30 manakala petrol Ron92 daripada RM2.62 seliter kepada RM2.40, RM2.30 dan RM2.20. Diesel pula turun daripada RM2.58 seliter kepada RM2.50, RM2.40 dan RM2.20.

Ditanya kemungkinan harga petrol dan diesel diturun ke paras harga bawah RM2, Najib sambil ketawa berkata: “Tunggu dululah (pengumuman harga baru itu).”

Ditanya mengenai trend penurunan harga petrol dan diesel ini dilihat tidak menjurus kepada penurunan harga barang, Najib berkata, kerajaan mengambil beberapa langkah untuk mengatasi perkara itu.

“Kita mengambil beberapa langkah, termasuk bekerjasama dengan pasar raya besar (dan) pengeluar.

“Pemilik pasar raya besar setuju menurunkan harga beberapa barangan dan produk yang akan diumumkan sehari dua ini,” katanya.

Mengenai kesan penurunan harga komoditi sawit dan getah kepada peneroka, Najib berkata, kerajaan memberi jaminan pendapatan peneroka tidak akan turun di bawah paras RM1,000 sebulan.

“Sebelum ini mereka mendapat purata (pendapatan) tinggi antara RM3,000 dan RM4,000 (sebulan), pada satu aspek kita harap mereka mengamalkan amalan menabung, mereka ada rezab sedikit bagi menghadapi zaman harga menurun.

“Kita ada langkah seperti memberi bonus yang saya umumkan (sebelum ini), bonus RM700 hingga RM2,000 (diberikan) Disember ini, langkah lain bagi menggalakkan peneroka mengambil bahagian dalam aktiviti lain seperti berniaga, kraftangan dan bercucuk tanam, tidak bergantung kepada sawit dan getah untuk pendapatan mereka,” katanya.

Menjawab soalan mengenai langkah menghadapi kesan krisis ekonomi global, Najib berkata, beliau akan mengumumkannya pada sesi penggulungan di Dewan Rakyat pada 4 November ini.

Tiada ulasan: