Selasa, 28 Oktober 2008

SMS ugut tak sihat

Oleh Abdul Halim Yusoff


KUALA LUMPUR: Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak menyifatkan perbuatan berkempen menggunakan khidmat pesanan ringkas (SMS) berbaur ugutan menjelang pemilihan Umno Mac depan sebagai budaya tidak sihat.

Beliau yang juga Timbalan Presiden Umno menegaskan perbuatan itu tidak seharusnya dilakukan sesiapa saja kerana calon yang hendak bertanding mesti menzahirkan amalan demokrasi sihat.

"Saya tidak tahu siapa yang menghantar SMS seperti itu, tapi perbuatan mengugut melalui SMS ini membawa satu budaya buruk yang tak patut dilakukan oleh sesiapa sekalipun.

"Kita mesti ingat, kita mengamalkan demokrasi yang sihat di negara kita," katanya kepada pemberita selepas bersama Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi, menghadiri Majlis Rumah Terbuka MIC sempena Deepavali di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) di sini, semalam.

Najib diminta mengulas pendedahan Ketua Umno Bahagian Johor Bahru, Datuk Shahrir Abdul Samad, berhubung lebih 10 SMS berbaur ugutan yang diterimanya supaya mencalonkan gandingan pemimpin tertentu bagi jawatan tertinggi pada pemilihan Umno Mac depan.

Kelmarin, Shahrir yang juga Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna berkata, penghantar SMS itu yang menggunakan nombor telefon bimbit 012-8242902, dengan angkuh meminta Umno Johor Bahru menyokong pencalonan pemimpin berkenaan atau bahagian itu akan dikenakan tindakan.

Sementara itu, Menteri Luar Datuk, Seri Dr Rais Yatim, menyarankan Umno menyerahkan siasatan kes itu kepada Badan Pencegah Rasuah (BPR) atau badan lain yang bertauliah kerana Lembaga Disiplin parti tidak mempunyai prasarana mencukupi untuk mengendalikannya secara berkesan.

"Parti kita belum lagi nampak mampu menangani gejala seperti budaya ugutan, politik wang dan beberapa amalan buruk lain yang boleh menghancurkan Umno.

"Tapi saya sedar cadangan saya ini mungkin tidak dapat diterima banyak pihak, terutama yang cenderung kepada budaya ugutan dan politik wang. Namun, Umno perlu naik setapak lagi untuk menjadi lebih matang, jika tidak saya berani meramalkan parti ini menuju ke arah kehancurannya," katanya.

Rais bagaimanapun yakin Abdullah dan Najib mampu menangani gejala itu jika kesepakatan untuk merubahnya dicapai di peringkat Majlis Tertinggi (MT) dan dipanjangkan ke peringkat akar umbi.

Setiausaha Agung Umno, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor pula berkata, Shahrir perlu membuat laporan polis berhubung kes SMS ugutan itu.

"Walaupun Lembaga Disiplin mempunyai cukup keupayaan untuk menyiasat kes itu, lebih baik ia turut dilaporkan kepada polis untuk siasatan," katanya.

Tengku Adnan berkata, calon yang menawarkan diri bertanding pelbagai jawatan pada pemilihan parti Mac depan sepatutnya mematuhi peraturan dan etika berkempen.

"Tidak timbul isu tak cukup pendedahan... yang penting cara kita bekerja untuk parti. Kalau orang kenal kita, orang akan sokong," katanya.

Tiada ulasan: