Khamis, 23 Oktober 2008

Pulau Pinang arah kerja pembinaan landasan KTMB dihentikan serta-merta

BERNAMA


PULAU PINANG: Kerajaan negeri mengarahkan Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) memberhentikan sementara pembinaan landasan kereta api elektrik berkembar di Pulau Pinang berkuatkuasa serta merta berikutan kerja-kerja pembinaan itu yang menyebabkan kejadian banjir.

Ketua Menteri Lim Guan Eng berkata kerjakerja pembinaan landasan itu yang tidak mengikut spesifikasi menyebabkan berlaku banjir di Kampung Valdor, Jawi di Seberang Perai Selatan (SPS).

"Mereka melakukan kerja pembinaan sehingga menyebabkan ban sungai di kawasan itu rosak, mengakibatkan banjir di kawasan itu," katanya kepada pemberita di sini, hari ini.

Beliau berkata kira-kira 50 rumah terjejas akibat banjir di kawasan berkenaan Isnin lepas, dan kerajaan negeri berhasrat untuk meminta KTMB membayar ganti rugi buat penduduk terlibat.

Menurutnya kerajaan negeri menubuhkan jawatankuasa yang dipengerusikan Pengerusi Jawatankuasa Pertanian dan Industri Asas Tani, Pembangunan Luar Bandar dan Tebatan Banjir, Law Choo Kiang bagi memantau keadaan itu.

"Kerja-kerja pembinaan landasan akan diteruskan hanya jika jawantankuasa itu berpuas hati dengan tindakan yang akan diambil oleh KTMB bagi mengatasi masalah itu," katanya.

Sementara itu Pengarah Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) Pulau Pinang, Hanapi Mohamad Noor berkata kejadian banjir berlaku di kawasan itu berikutan kerja-kerja sementara yang dilaksanakan untuk pembinaan landasan keretapi berkembar.

"Sebagai contoh kontraktor yang dilantik, menimbus parit untuk laluan lori ke kawasan pembinaan dan mereka potong ban sungai untuk laluan mengangkut bahan binaan sehingga memberi kesan terhadap kestabilan benteng sungai serta menjejaskan aliran air dari parit ke sungai," katanya.

Pelaksanaan kerjakerja pembinaan Projek Landasan Kereta Api Elektrik Berkembar IpohPadang Besar (EDTP) sepanjang 329 km yang bernilai RM12.485 bilion itu dijangka siap pada tahun 2013.

Berhubung banjir, Lim mengingatkan penduduk sekitar Sungai Muda supaya sentiasa berada dalam keadaan berjaga-jaga kerana Empangan Muda melepaskan air ke Sungai Muda sebanyak 85 liter padu setiap saat berikutan hujan lebat sejak beberapa hari lepas.

Sehingga pukul 10 pagi ini, air Sungai Muda di Kawasan Ladang Victoria berada pada paras 6.32 meter manakala paras amaran bagi kawasan itu ialah 7.8 meter, sementara air Sungai Muda di kawasan Pinang Tunggal kini berada pada paras 4.1 meter berbanding paras amaran pada lima meter.

Lim berkata hujan lebat di Pulau Pinang sejak beberapa hari lepas menyebabkan tanah menjadi tepu dan tidak berupaya menyerap air.

Tiada ulasan: