Ahad, 26 Oktober 2008

Polis ditahan reman

Oleh MUHD IZAWAN BAHARIN


SEREMBAN: Seorang anggota polis ditahan reman bersama dua rakannya bagi membantu siasatan kes pukul seorang pengurus pusat karaoke di Taipan, Senawang, awal pagi kelmarin.

Anggota berusia lingkungan 30 tahun itu ditahan di rumahnya selepas didakwa menyerang serta menyalahguna kuasa ketika berhibur di pusat karaoke berkenaan.

Ketua Polis Daerah Seremban, Asisten Komisioner Saiful Azly Kamaruddin, berkata anggota polis itu bersama dua orang awam ditahan malam kelmarin dan direman sehingga Selasa ini.

“Siasatan awal mendapati suspek adalah anggota polis manakala rakannya orang awam. Mereka ditahan reman bagi membantu siasatan satu kejadian pukul,” katanya ketika dihubungi di sini, semalam.

Dalam kejadian 2.30 pagi kelmarin, suspek bersama empat rakannya dikatakan menumbuk pipi pengurus pusat karaoke, Lo Kim Siong, 25, sebanyak dua kali selepas mangsa meminta mereka membayar wang.

Sebelum kejadian itu, suspek dikatakan meminta diskaun istimewa ketika hendak berhibur di pusat karaoke berkenaan dan pihak pengurusan memberi potongan harga 10 peratus.

Suspek bersama rakannya bagaimanapun tidak berpuas hati apabila diminta membayar perkhidmatan itu dengan mendakwa di tempat lain mereka boleh berhibur secara percuma sebelum Lo diserang.

Saiful berkata, pihaknya memandang serius kejadian itu dan akan mengambil tindakan jika mereka terbukti bersalah.

“Sikap sebegini boleh menjejaskan imej polis dan kita akan mengambil tindakan tanpa pilih kasih. Jika cukup bukti, mereka akan dihadapkan ke mahkamah,” katanya.

Sementara itu, Timbalan Ketua Pemuda MCA Negeri Sembilan, Siow Koi Voon, memuji langkah diambil polis dalam menegakkan undang-undang.

“Saya kagum dengan tindakan pantas polis dalam hal ini yang segera menahan suspek selepas laporan dibuat walaupun membabitkan anggota sendiri.

“Tindakan ini menunjukkan sikap profesional pasukan polis dalam menangani jenayah, malah polis memberi jaminan jika suspek dibuktikan bersalah, mereka bukan saja dihadapkan ke mahkamah, malah dikenakan tindakan tatatertib,” katanya.

Tiada ulasan: