Ahad, 19 Oktober 2008

Penubuhan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah diteliti

Oleh ZAINI RABAN


KUALA KANGSAR - Kabinet akan mengambil masa dua minggu bagi meneliti cadangan dan memorandum rang undang-undang berkaitan penubuhan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Mohamed Nazri Aziz berkata, masa berkenaan mencukupi bagi membolehkan suruhanjaya yang bakal ditubuhkan itu benar-benar mantap dan jelas bagi semua pihak.

''Tujuan kita mengambil masa selama dua minggu bukanlah untuk menolak cadangan tersebut, Kabinet mahu menerima cadangan itu tetapi kena ambil masa untuk membuat kajian terperinci.

''Apabila sudah diluluskan barulah ia akan dibawa untuk bacaan pertama pada persidangan Dewan Rakyat dan bacaan kedua dijangka diadakan sebaik habis perbahasan belanjawan pada 11 Disember ini," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Mesyuarat Perwakilan UMNO Bahagian Padang Rengas dekat sini hari ini.

Beliau menyatakan demikian ketika diminta mengulas mengenai cadangan penubuhan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah yang bakal dilaksanakan pada awal tahun depan.

Mengulas lanjut, Mohamed Nazri berkata, penubuhan suruhanjaya berkenaan juga telah dipersetujui oleh Badan Pencegah Rasuah (BPR).

Katanya, ia bagi membolehkan suruhanjaya terbabit membuat siasatan jika terdapat aduan daripada mana-mana pihak yang tidak berpuas hati dengan cara BPR menjalankan penyiasatan.

Buat masa ini katanya, tidak ada satu badan khas yang boleh membuat siasatan atau mengambil apa-apa tindakan walaupun terdapat aduan daripada pihak yang tidak berpuas hati dengan cara BPR menjalankan tugas.

Katanya, bagi memastikan suruhanjaya tersebut mempunyai kredibiliti yang tinggi, ia bakal dianggotai oleh Ahli-Ahli Parlimen dan Senator berkelayakan.

Tiada ulasan: