Ahad, 26 Oktober 2008

Lembaga Disiplin cadang dua ahli UMNO dipecat

BERNAMA


KUALA LUMPUR - Lembaga Disiplin UMNO akan mencadangkan kepada Majlis Tertinggi (MT) parti agar dua orang ahli parti dipecat kerana menyokong parti pembangkang pada pilihan raya umum lepas.

Pengerusinya, Tan Sri Tengku Ahmad Rithauddeen Tengku Ismail berkata, kedua-dua mereka ialah ahli Bahagian Kota Marudu Sabah, Isang Rawai dan ahli Bahagian Ledang Johor, Mohd Shamsuddin Dawam.

Tengku Ahmad Rithauddeen berkata, kedua-duanya adalah antara 15 orang yang disiasat lembaga itu kerana tuduhan melakukan pelbagai kesalahan termasuk menyokong parti pembangkang, politik wang dan salah guna kuasa.

“Isang didapati menjadi calon Bebas manakala Mohd Shamsuddin menjadi wakil calon Pas pada pilihan raya umum Mac lepas. Jadi sekarang terserahlah kepada MT untuk memecat mereka,” katanya kepada pemberita di sini, semalam.

Beliau berkata, enam lagi tertuduh yang disiasat lembaga itu juga didapati bersalah kerana pelbagai kesalahan tetapi diberi amaran.

Mereka ialah Ketua UMNO Bahagian Seremban Datuk Ishak Ismail, Ketua UMNO Bahagian Labuan Datuk Suhaili Abdul Rahman, Timbalan Ketua UMNO Bahagian Raub Datuk Mustaffar Kamal Ab Hamid, ahli UMNO Bahagian Raub Datuk Abdullah Abu Bakar, Pengerusi Tetap Cawangan Labuan Datuk Yunus Kurus dan ahli UMNO Bahagian Labuan Alias Hussin.

“Antara kesalahan mereka ialah sabotaj pada pilihan raya lepas, politik wang dan salah guna kuasa,” katanya.

Tengku Ahmad Rithauddeen berkata, tujuh didapati tidak bersalah setelah disiasat iaitu Jelin Dasanap atau Jelani Hamdan (Kota Marudu), Majial Mangulizang (Kota Marudu), Kampun Inok (Kota Marudu), Datuk Ahmad Yassin (Ledang), Ja’afar Ahmad (Ledang), Shahrl Ismail (Tanjung Pia) dan Jamilah Endan (Tanjong Piai).

Beliau berkata, sebanyak 632 aduan telah diterima oleh lembaga itu sejak 30 September lepas dan sehingga kini 135 daripadanya telah disiasat oleh panel penyiasat.

Katanya, sesiapa yang mempunyai maklumat tentang mana-mana ahli parti yang melanggar disiplin perlu tampil dan jangan mengambil masa terlalu lama untuk membuat laporan.

“Masalah disiplin ini terutamanya politik wang begitu ketara dalam UMNO dan saya difahamkan dari segi pemilihan parti lain seperti MCA dan Gerakan didapati kurang (politik wang), jadi malulah.

“Sesiapa yang buat aduan akan diberi imuniti dan dirahsiakan identiti mereka, jadi tak usahlah takut untuk tampil. Jika tidak bagaimana nak hapuskan gejala yang memberi keburukan kepada parti, individu dan negara itu,” katanya.

Mengenai cadangan Ahli MT UMNO, Datuk Seri Dr Rais Yatim Selasa lepas supaya semua jawatan tertinggi parti itu dipertandingkan secara tender, Tengku Ahmad Rithauddeen berkata, ia sesuatu yang tidak mungkin dapat dilakukan.

“Kita tidak boleh lakukan sebagai tender. Adakah kita akan dapat orang yang betul-betul boleh memimpin kita melalui kaedah tender ini? Barangkali dia (Rais) bukan serius apabila mengemukakan cadangan itu,” katanya.

Tiada ulasan: