Isnin, 27 Oktober 2008

Lelaki Malaysia ditembak mati di Golok

UTUSAN ONLINE


RANTAU PANJANG - Seorang rakyat Malaysia mati dipercayai ditembak oleh beberapa lelaki ketika sedang membaiki motosikalnya di sebuah bengkel di pekan Sungai Golok, selatan Thailand hari ini.

Dalam kejadian kira-kira pukul 11 pagi itu, mangsa Mohd. Zuki Mohd. Nawi, 37, berasal dari Tanah Merah, Kelantan meninggal dunia di tempat kejadian selepas terkena tiga das tembakan di kepala dan badan.

Timbalan Ketua Polis Kelantan, Senior Asisten Komisioner II Amir Hamzah Ibrahim berkata, kejadian berlaku ketika mangsa sedang membaiki motosikalnya di sebuah bengkel di pekan tersebut sebelum didatangi sekumpulan lelaki yang melepaskan beberapa das tembakan ke arahnya.

Beliau berkata, siasatan awal pihak polis mendapati satu das tembakan dipercayai terkena pada bahagian kepala manakala dua das lagi pada badan mangsa.

"Kita masih menunggu laporan siasatan daripada polis negara itu berhubung kejadian ini dan berdasarkan maklumat mangsa dipercayai menjalankan perniagaan di bandar tersebut.

"Ketika kejadian beberapa lelaki yang menaiki sebuah motosikal dan kereta dikatakan telah melepaskan beberapa das tembakan secara rambang terhadap mangsa sebelum melarikan diri,'' katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.

Difahamkan, sebelum kejadian mangsa yang menunggang motosikal bersendirian dalam perjalanan dari rumah isterinya di Kampung Gok Ayam, Sungai Golok untuk pulang ke Rantau Panjang melalui pangkalan haram.

Amir Hamzah berkata, mayat mangsa telah dibawa pulang ke kampung halamannya di Kampung Bendang Gok, Tanah Merah untuk urusan pengkebumian selepas bedah siasat dilakukan di Hospital Sungai Golok.

"Jenazah mangsa dibawa ke Rantau Panjang kira-kira pukul 7.30 petang sebelum diserahkan kepada ahli keluarganya.

"Motif sebenar pembunuhan ini belum diketahui kerana siasatan masih di peringkat awal," katanya.

Tiada ulasan: