Selasa, 28 Oktober 2008

Khir didakwa mahu pecah belah hubungan kerajaan Negeri, Sultan

Saidah Hairan


SHAH ALAM - Tohmahan Ketua Pembangkang, Dato' Seri Dr Mohd Khir Toyo bahawa pimpinan kerajaan Pakatan Rakyat tidak mempunyai hubungan baik dengan Tuanku Sultan Selangor dibidas oleh exco Kerajaan Negeri dan Adun Pakatan Rakyat.

Azmin Ali (KeADILan-Bukit Antarabangsa) menyelar dakwaan Khir yang berniat jahat mahu menimbulkan kegelisahan rakyat bahawa kenyataan itu cuba menimbulkan keresahan di kalangan rakyat khususnya Pakatan Rakyat dengan Tuanku Sultan.

Dalam sesi mesyuarat Peringkat Jawatankuasa Perbekalan Rang Undang-undang itu, Azmin menegaskan, taat setia rakyat Selangor kepada Tuanku Sultan tidak pernah berbelah bagi.

Pimpinan Rakyat juga katanya, menyokong untuk menjamin kuasa mutlak bagi memastikan pentadbiran agama Islam di Selangor berjalan dengan lebih baik dan kemas.

Bagaimanapun, katanya kenyataan Khir itu seolah-olah menjelaskan bahawa telah timbul masalah komunikasi antara pihak Istana dengan kerajaan Negeri.

"Saya yakin kerajaan Negeri di bawah kepimpinan Menteri Besar dapat memberikan kepimpinan yang baik dengan memastikan peranan Istana dalam kerajaan Negeri lebih jelas," tegasnya.

Dalam perbahasan tersebut, Speaker, Teng Chang Khim mencelah; "Adakah kerajaan dahulu (BN) ada masalah dengan Sultan?"

Azmin dengan pantas menjawab hanya yang buta sejarah sahaja menafikan tidak ada masalah antara kerajaan negeri dengan pihak Istana.

Menurut beliau, pernah suatu ketika Menteri Besar (Umno) mengambil anak raja tetapi menafikan sehingga timbul krisis besar seolah-olah Menteri Besar ketika itu bergelumang dengan masalah skandal sama ada rasuah dan penyelewengan.

Dengan peristiwa itu, Tuanku Sultan terpaksa mengambil pendirian tegas supaya perkara tersebut tidak akan berulang.

"Saya harap Khir jangan cuba melaga-lagakan hubungan Tuanku Sultan dengan pimpinan Pakatan Rakyat kerana bagi kami akan memastikan kemurniaan Raja-raja Melayu khususnya di Selangor," tegasnya.

Sementara itu, Exco Hal Ehwal Agama, Adat-adat Istiadat dan Kemudahan Awam, Dato' Dr Hasan Mohamad Ali menegaskan kerajaan Pakatan Rakyat di bawah Menteri Besar sentiasa menjunjung prinsip Raja.

"Kami hendak menentukan bahawa sistem di Malaysia termasuk di Selangor dari segi agama Islam tonggaknya adalah Yang di-Pertuan Agong dan Tuanku Sultan dan ini tidak boleh dipersoalkan kerana ia termasuk dalam Perlembagaan negara dan negeri," tegasnya.

Beliau berkata, hanya Umno saja yang pernah menjatuhkan institusi Raja-raja Melayu.

Menurutnya, pindaan Enakmen adalah bertujuan menentukan bahawa Sultan merupakan pemerintah teratas dalam segala hal terutama hal Ehwal Agama Islam.

Beliau menegaskan, Khir Toyo (BN-Sungai Panjang) mahu melahirkan bibit-bibit keretakan antara pimpinan kerajaan Negeri dengan Tuanku Sultan dan mahu mencari ruang untuk menimbulkan kekeruhan.

"Apakah Khir pura-pura tidak tahu bahawa dalam masa lapan bulan Pakatan Rakyat mentadbir telah mewujudkan satu hubungan paling intim dengan Tuan ku Sultan," katanya. - lanh _

Tiada ulasan: