Jumaat, 31 Oktober 2008

Ian Chin pernah dedah hakim diugut era Mahathir letak jawatan

MSTAR ONLINE
[DIKEMAS KINI]


KUALA LUMPUR: Hakim Mahkamah Tinggi Sibu, Datuk Ian Chin, yang pernah mendedahkan hakim diugut dipecat jika mereka membuat keputusan yang tidak memihak kepada kerajaan ketika eraTun Dr Mahathir Mohamad, telah mengemukakan surat peletakan jawatannya berkuat kuasa 1 Disember ini.

Beliau telah menyerahkan surat perletakan jawatan tersebut kepada Yang di-Pertuan Agong pada 16 Julai lalu dan kemudiannya bercuti daripada bermula 21 Ogos hingga 30 November ini.

Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, T. Murugiah berkata demikian ketika menjawan soalan Tian Chua (PKR-Batu) yang bertanya sama ada kerajaan telah mengambil langkah-langkah bagi menyiasat dakwaan Hakim Chin terhadap Dr Mahathir.

Murugiah berkata, tidak wujud keperluan untuk menyiasat perkara itu memandangkan Hakim Chin telah meletak jawatan.

Sebelum itu, Murugiah memberitahu Datuk Mukhriz Mahathir (BN-Jerlun) bahawa kerajaan tidak berhasrat untuk membuat representasi kepada Yang di-Pertuan Agong supaya Hakim Ian dihadapkan ke tribunal atas kesalahannya membuat tuduhan tidak berasas terhadap kerajaan terdahulu.

Pada Jun lalu, Hakim Chin mencetuskan kejutan apabila mendakwa Dr Mahathir mengugut hakim-hakim di sebuah persidangan hakim pada 27 April 1997 bahawa mereka akan dipecat sekiranya keputusan penghakiman yang dilakukan tidak berpihak kepada kerajaan.

Hakim Chin mendedahkan perkara itu pada 11 Jun lalu sebelum mendengar petisyen pilihan raya yang difailkan calon DAP yang bertanding bagi kerusi Parlimen kawasan Sarikei, Wong Hua Seh, bagi mencabar keputusan pilihan raya umum pada 8 Mac lalu bagi kerusi tersebut, yang dimenangi calon Barisan Nasional (BN), Ding Kuong Hiing.

Dr Mahathir bagaimanapun dalam blognya telah menafikan dakwaan tersebut.

Tiada ulasan: