Sabtu, 25 Oktober 2008

Dun Selangor: Sewa rumah boleh dibayar ansuran

Saidah Hairan


SHAH ALAM - Jawatankuasa Perumahan, Pembangunan Bandar dan Setinggan akan merangka satu mekanisma baru bagi mengenal pasti rakyat Selangor yang tidak mampu untuk memiliki rumah sendiri supaya mereka dapat menikmati kesan pemerintahan kerajaan Pakatan Rakyat.

Pengerusinya, Iskandar Abd Samad berkata, bancian akan dilakukan oleh Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) bagi memudahkan kerajaan menghulurkan bantuan rakyat yang sepatutnya.

Sebelum itu beliau menjelaskan persoalan yang diajukan Gan Pei Nei (DAP-Rawang) berhubung butir terperinci projek flet rumah kos rendah serta kadar sewa yang dikendalikan oleh PBT.

Berhubung projek kos rendah katanya, menurut PBT jumlah yang masih ada di kawasan Majlis Perbandaraan Klang (MPK) pangsapuri Rebana sebanyak 212 unit; Taman Perdana 600 unit; Sri Perantau 28 unit; Semenyeh 339 unit; Taman Kajang Impian 180 unit yang kosong dan masih dalam pembinaan.

Tambah beliau, di MPSJ iaitu di Taman Tasik Prima 137 unit; Puchong 192 unit; Majlis Perbandaraan Selayang iaitu di Permai Rawang 96 unit dalam binaan dan dijangka siap tahun 2010.

Katanya, di Sepang 500 unit akan siap pada tahun 2009 di Ulu Selangor iaitu di Taman Bungi Raya telah siap tetapi menghadapi masalah 2724 unit yang masih kosong.

Berhubung kadar sewa tambah beliau, pada asalnya RM124 tetapi telah dinaikkan RM250 sejak Jun 2007 bagi menampung kos penyelenggaran.

Manakala katanya, sewa rumah di Council Home yang mempunyai empat blok setakat RM250 manakala sewa RM400 itu sebulan merupakan rumah PKNS yang boleh disewakan oleh sesiapa.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan tambahan Dr Shafie Abu Bakar (PAS-BangI) yang keliru kerana ada rumah yang disewakan RM250 dan RM400 sebulan.

Menurut Iskandar, jika benar Council Home disewakan sebanyak RM400 pihaknya akan membuat siasatan kerana di Council Home di Bangi hanya mempunyai dua blok dan dua blok lagi bukan bertaraf Council Home.

Beliau menjelaskan, tindakan kerajaan Pakatan Rakyat untuk membantu keluarga yang tidak mampu tinggal di rumah kos rendah membuktikan bahawa kerajaan memang prihatin namun kutipan sewa tetap dilakukan bagi membayar kos penyenggaraan.

Bagaimanapun, katanya, bagi meringankan bebanan rakyat miskin kerajaan memberi kelonggaran supaya sewa rumah itu boleh dibayar secara ansuran hingga selesai segala hutang dalam bulan tersebut.

"Bayaran sewa amat penting untuk penyenggaran rumah dan bagi mereka yang tidak layak boleh mendapatkan bantuan daripada Majlis Agama Islam Selangor (Mais) Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM)," jelasnya.

Tambah beliau Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan juga ada menyediakan skim bantuan sewaan setakat RM124 sebulan. - lanh _

Tiada ulasan: