Ahad, 19 Oktober 2008

ABDULLAH: MAHATHIR 'BERLAGAK' PENGARAH PEMILIHAN UMNO

MSTAR ONLINE


KOTA KINABALU: "Siapakah Tun yang dah keluar parti Umno itu nak cuba membuat arahan kepada orang Umno apa yang patut dilakukan?

Selepas dua minggu mengumumkan tidak akan mempertahankan kerusi jawatan Presiden, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi membidas Tun Dr. Mahathir Mohamad sambil mendakwa bekas Perdana Menteri dan Presiden Umno itu berlagak seolah-olah pengarah pilihan parti yang menentukan "siapa yang perlu berada dalam parti Umno dan siapa yang perlu dikeluarkan."

"Dia berlagak seolah-olah menjadi pengarah kepada pilihan parti, menentukan orang itu memegang jawatan itu... orang ini pula memegang jawatan ini, siapa yang perlu ada dalam parti, siapa yang perlu dikeluarkan. Apa hak dia buat begitu?," kata beliau di sini malam tadi.

Perdana Menteri berkata, Umno tidak pernah memerlukan arahan daripada pemimpin yang tidak berada dalam parti itu.

Abdullah mengulas kenyataan Mahathir yang mahu perwakilan Umno "mengusir orang-orang Abdullah" dalam pemilihan parti itu Mac depan.

Dr. Mahathir mengeluarkan pandangan itu dalam blognya dua hari lalu, meminta Datuk Seri Mohd. Najib Tun Razak jangan ambil penyokong Abdullah dalam pasukannya kelak.

"Sebenarnya beliau mahu menimbulkan pergolakan, kemarahan dan kebencian.

"Apakah salah sangat orang-orang yang bekerja dengan saya. Apakah kalau mereka itu tidak bercakap atau tidak riuh-rendah maka itu mesti dianggap sebagai orang yang tidak baik...orang yang tidak pernah membuat baik untuk Umno dan kerajaan.

"Siapa dia yang membuat penentuan seperti itu. Ini akan menimbulkan kebencian sesama ahli Umno, mengajar ahli Umno bergaduh sesama sendiri," kata beliau yang jarang 'menyerang balas' Dr. Mahathir yang sering mengkritik gaya kepimpinan Abdullah sejak tiga tahun lalu.

Abdullah berkata, beliau mengambil keputusan untuk tidak bertanding jawatan presiden Umno bagi mengelakkan perbalahan sesama anggota parti.

"Oleh sebab adanya pertandingan sebagaimana yang biasa berlaku terutama di peringkat atasan berpecah belah. Kita patut belajar daripada apa berlaku dulu.

"Cakap macam ini akan menimbulkan kemarahan kepada mereka yang dianggap tidak boleh terima, mesti diketepikan. Saya menganggap apa yang Tun telah lakukan sebenarnya menimbulkan perkelahian di dalam Umno," kata Abdullah.

Menurut Perdana Menteri, gesaan Mahathir itu tidak akan mendatangkan kebaikan.

"Inikah "reform" yang diharapkan...Kita ada kebebasan, tiap-tiap ahli Umno ada kebebasan untuk bertanding.

"Saya dengar kata Ali Rustam (Ketua Menteri Melaka) yang nak bertanding timbalan presiden dicuba orang tertentu memaksa dia untuk tarik balik... Mengapa suruh Ali tarik balik? Apa tak eloknya Ali?.

"Tak boleh diberi saja kebebasan untuk bertanding.... tentu ada orang yang mahu sokong mahupun yang tak sokong. Jadi biarlah dia bertanding dan biarlah orang Umno menentukannya," katanya.

Dalam hal ini, anggota Umno tidak perlu orang daripada luar untuk memberi arahan.

"Adalah lebih baik Tun tak cakap langsung pada hari ini," katanya.

Sementara itu, Abdullah juga kecewa apabila Naib Presiden Umno Tan Sri Muhyiddin Yassin, yang juga Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, tidak mengendahkan keputusan peralihan kuasa yang dipersetujui antara beliau dan Najib pada Mac tahun depan.

"Sebenarnya dialah (Muhyiddin) yang menimbulkan isu mempercepatkan peralihan kuasa dilakukan dengan membuat kenyataan-kenyataan di luar, di Singapura.

"Semua orang dah bersetuju. Mereka sendiri tak kata tak bersetuju. Datuk Seri Mohd Najib dengan saya dah ada persetujuan yang direstui dan dipersetujui oleh ahli-ahli Majlis Tertinggi Umno," katanya.

Abdullah berkata, beliau telah menerangkan sebab beliau memerlukan masa yang dipersetujui antara beliau dan Najib, antaranya, terdapat perkara berkaitan dengan reform yang beliau hendak laksanakan dan dibawa ke persidangan Dewan Rakyat.

"Apakah dia takut reform? Apakah dia tidak mahu reform? Apakah ini sebagai satu langkah untuk menggagalkan usaha-usaha sedangkan reform itu dikehendaki oleh rakyat.

"Saya dimarah oleh rakyat kerana tidak memenuhi janji. Sebab itu ada dalam manifesto 2004 apabila saya bertanding, apabila kita memenangi pilihan raya pada 2004 dengan sokongan yang kuat.

"Mengapa pula dia mencadangkan seperti itu? Ertinya nak menggagalkanlah. Nak menggagalkan saya atau menghalang saya mengambil tindakan-tindakan yang saya telah usahakan.

"Soalnya ialah sudah ada persetujuan. Dah setuju. Mengapa mengungkit lagi? Tak sabar agaknya nak jadi Timbalan Presiden. Itupun kalau ada cukup orang nanti nak menyokong dia," katanya.

Tiada ulasan: