Ahad, 21 September 2008

Suara Keadilan telah jawab surat KDN
Harakahdaily


KUALA LUMPUR - Akhbar rasmi Parti Keadilan Rakyat (KeADILan),Suara Keadilan telah menjawab surat tunjuk sebab kepada Kementerian Dalam Negeri (KDN) semalam.

Menurut Ketua Penerangan KeADILan, Tian Chua, surat berkenaan telah diserahkan melalui tangan ke pejabat Ketua Setiausaha Kementerian Dalam Negeri, Bahagian Kawalan Penerbitan & Teks Al-Quran di Putrajaya pada hari Jumaat 19 September, sebelum berakhir tempoh tujuh hari yang diberi kementerian untuk menjawab.

"Cop akuan penerimaan pada tarikh itu telah pun diperolehi dari pejabat KDN. Salinan surat itu juga dihantar dalam bentuk fax ke pejabat KDN pada tarikh yang sama,"katanya dalam satu kenyataan pagi tadi.

Sebelum ini KDN telah menghantar surat tunjuk sebab kepada tiga buah akhbar berhubung laporan mereka mengenai perkembangan politik semasa dalam tempoh seminggu bermula 12 September.

Selain Suara Keadilan, dua akhbar lain ialah akhbar berbahasa Inggeris, The Sun; akhbar berbahasa Cina, Sin Chew Daily juga telah menghantar surat tunjuk sebab.

Dalam keluaran terbaru Suara Keadilan bilangan 18 bagi tarikh 18 hingga 25 September, Suara Keadilan turut menulis ralat dan menarik balik berita mengenai kesihatan Ketua Polis Negara Musa Hassan di muka surat 22. Salinan naskah terbaru itu turut diberikan bersama surat tunjuk sebab berkenaan.

Suara Keadilan dikehendaki memberikan surat tunjuk sebab berhubung laporannya yang memetik sumber-sumber yang mendakwa Ketua Polis Negara, Musa Hassan lumpuh selepas menjalani pembedahan jantung, pada bilangan 145 edisi 4 hingga 11 September lepas.

Manakala Sin Chew pula diberi surat tunjuk sebab kerana melaporkan kontroversi kenyataan berbaur perkauman membabitkan pemimpin Umno, Ahmad Ismail.

Akhbar The Sun pula diwajibkan memberi surat tunjuk sebab selepas didakwa "memanipulasi dan memainkan banyak isu-isu sensitif" oleh kementerian berkenaan. - mks._

Tiada ulasan: