Rabu, 24 September 2008

Samy Vellu: Abdullah janji timbang pembebasan lima pemimpin Hindraf
BERNAMA


KUALA LUMPUR: Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi telah berjanji untuk menimbang rayuan MIC bagi membebaskan lima pemimpin Hindu Rights Action Force (Hindraf) yang ditahan mengikut Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) sejak 13 Dis tahun lepas.

"Perdana Menteri berjanji untuk berbincang perkara itu dengan Menteri Dalam Negeri (Datuk Seri Syed Hamid Albar) sebelum membuat keputusan," kata Presiden MIC Datuk Seri S. Samy Vellu dalam satu kenyataan di sini, hari ini.

Pemimpin MIC itu, diiringi Menteri Sumber Manusia dan Setiausaha Agung parti itu berbincang selama setengah jam dengan Abdullah di Pejabat Perdana Menteri awal hari ini bagi mendapatkan pembebasan segera kelimalima pemimpin Hindraf itu.

"Perdana Menteri memberi jaminan bahawa beliau akan mengkaji keadaan dan mencadangkan tindakan sewajarnya."

"Kami mempunyai sepenuh keyakinan dan kepercayaan dengan Perdana Menteri dan kami percaya bahawa beliau akan melakukan sesuatu yang positif berhubung perkara ini," katanya.

Samy Vellu berkata beliau menjelaskan kepada Abdullah sebabsebab kenapa R. Kengadharan, 41, M. Manoharan, 47, V. Ganabatirau, 35, P. Uthayakumar, 47, dan K. Vasantha Kumar, 35 perlu dibebaskan tanpa syarat.

Beliau berkata alasannya adalah mereka telah ditahan hampir sembilan bulan sekarang.

"Sebahagian daripada mereka memerlukan pemeriksaan perubatan walaupun kami diberitahu mereka telah diberi penjagaan yang sewajarnya. Keluarga mereka telah cukup menanggung penderitaan dan mereka sepatutnya dibenarkan pulang untuk menjaga keluarga mereka.

"Sudah tiba masanya mereka dibebaskan kerana mereka tidak membahayakan keselamatan negara," katanya.

Katanya pembebasan kelima-lima pemimpin itu jug akan "mengurangkan ketegangan" di kalangan masyarakat India terhadap kerajaan.

"Saya juga menerima tekanan daripada pemimpin dan anggota MIC bagi mendapatkan pembebasan mereka. Hari ini saya bercakap dengan Perdana Menteri dan saya boleh memberi jaminan kepada anggota MIC bahawa sesuatu yang baik akan berlaku," katanya.

Samy Vellu berkata beliau akan membangkitkan perkara itu sekali lagi dalam mesyuarat Dewan Tertinggi Barisan Nasional (BN) akan datang.

Tiada ulasan: