Khamis, 25 September 2008

Rais: 2 jawatan tertinggi Umno perlu ditandingkan
Mstar online


WASHINGTON: Sudah tiba masanya bagi dua jawatan tertinggi dalam Umno dipertandingkan untuk memperkukuhkan proses demokrasi dalam parti, kata Menteri Luar, Datuk Seri Dr Rais Yatim di sini.

"Umno amat memerlukan proses demokrasi yang mantap dan saya berada dalam kumpulan di mana (jawatan) presiden dan timbalan presiden sepatutnya dicabar," katanya selepas mempengerusikan mesyuarat 13 ketua misi Malaysia yang ditugaskan di Amerika di Kedutaan Malaysia di sini.

"Mana-mana jawatan sepatutnya dipertandingkan jawatan am tidak sepatutnya suci Umno wajar melalui proses pengembalian kepada asal, kembali kepada caranya yang lama," katanya kepada Bernama dalam temu bual

Dua jawatan tertinggi parti tidak dibenarkan dipertandingkan selepas persaingan yang meninggalkan kesan mendalam pada 1987 antara penyandang Presiden, Tun Dr. Mahathir Mohamad dan Tengku Razaleigh Hamzah yang menyaksikan parti berpecah.

Razaleigh selepas itu menubuhkan parti Semangat 46 yang turut disertai beberapa anggota utama parti termasuk Rais, namun kembali semula ke pangkuan Umno pada 1996.
Rais yang berkata beliau berhasrat bertanding jawatan Naib Presiden Umno pada perhimpunan agung parti pada Disember ini, menambah kata, "proses pengembalian kepada asal" dalam Umno adalah sihat untuk parti.

"Jika keputusan dibuat oleh pemimpin-pemimpin sahaja, pasti akan mewujudkan akibat tertentu, bagaimanapun, "jika akar umbi diberikan peluang, dengan itu nilai demokrasi dapat diperkukuhkan," kata Rais yang juga anggota Parlimen Jelebu.

Beliau bagaimanapun yakin Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi dan timbalannya, Datuk Seri Najib Tun Razak akan dapat mengharungi "kesukaran" kemelut politik negara.

Mengenai Datuk Seri Anwar Ibrahim yang didakwa di mahkamah bagi pertuduhan liwat, Rais berkata, Penasihat Parti Keadilan Rakyat (PKR) itu didakwa di mahkamah bagi menghadapi tindakan undang-undang mengikut Kanun Keseksaan dan ia tiada kena-mengena dengan cita-cita politiknya.

"Tidak seperti di Eropah dan Amerika Syarikat, liwat merupakan perbuatan jenayah di Malaysia," katanya sebagai mengulas kritikan tajam terhadap kerajaan Malaysia oleh negara-negara Barat. Anwar, yang merupakan Ketua Umum Pakatan Rakyat, menetapkan 16 September sebagai tarikh untuk mengambil alih kerajaan dengan mendakwa lebih 30 anggota Parlimen Barisan Nasional telah menyertai partinya.

"Tarikh yang ditetapkannya itu telah datang dan berlalu dan ini akan menjejaskan kewibawaannya," kata Rais.

Mengenai Akta Keselamatan Negeri (ISA) yang kontroversi, Rais berkata, adalah penting bagi ISA dinilai semula supaya selaras dengan prinsip hak asasi manusia (berhubung) dengan keadilan, pentadbiran undang-undang dan bidang kuasa mahkamah.

"Kita perlu kaji semula ISA untuk menangani pelbagai kritikan aspek tertentu ISA boleh dinilai semula. Malaysia tidak boleh lagi berkata yang ia tidak boleh (kaji semula ISA)," katanya.

Tiada ulasan: