Selasa, 23 September 2008

Pakatan kata sedang runding dengan k'jaan
malaysiakini/ AFP


Pakatan Rakyat berkata, pihaknya telah mula berunding dengan kerajaan berhubung peralihan kuasa, selepas ia mendakwa telah mendapat sokongan yang mencukupi dari ahli-ahli Parlimen untuk menumbangkan kerajaan.

Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi enggan bertemu dengan Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim, tetapi para pegawai berkata, kontak dibuat melalui orang tengah.

"Terdapat kontak awal antara orang tengah kita dengan orang tengah Abdullah," kata Ketua Penerangan PKR, Tian Chua.

"Niat kita mengadakannya ialah untuk peralihan kuasa kepada pembangkang, tetapi saya tidak boleh bercakap bagi pihak sana," kata Tian kepada AFP.

"Setakat ini ia nampak baik dan kita akan tungguh dan lihat apa yang berlaku," tambahnya.

Pertemuan telah diadakan

Tian berkata, kontak awal dibuat pada hujung minggu dan lebih daripada satu pertemuan telah diadakan.

Awal bulan ini, Anwar berkata, beliau mempunyai sokongan dari lebih 31 ahli Parlimen BN tetapi enggan mendedahkan senarai nama mereka sehinggalah beliau bertemu Abdullah.

Anwar juga telah meminta Abdullah memanggil sidang khas Parlimen - yang tidak bersidang sekarang - untuk membahaskan usul tidak percaya terhadap perdana menteri.

Anwar memberi tempoh sehingga hari ini - 23 September - kepada Abdullah untuk memanggil sidang khas tersebut.

Perdana menteri bagaimanapun enggan berbuat demikian dan menolak dakwaan Anwar itu sebagai satu pembohongan.

Sehingga ini, tiada tanda-tanda yang Abdullah akan meletak jawatan walaupun ada desakan daripada menteri-menteri kabinet yang mau beliau berbuat demikian lebih awal daripada pelan peralihan kuasa 2010.

Abdullah berdepan dengan tekanan terhadap masa depan politiknya selepas BN kalah teruk dalam pilihanraya umum Mac lalu di mana ia gagal mengekalkan majoriti dua pertiga di Parlimen dan hilang lima negeri kepada pembangkang.

Menurut sumber-sumber parti, beliau berdepan dengan tekanan supaya meletakkan jawatan hujung tahun ini.

Tiada ulasan: