Rabu, 24 September 2008

Majlis Peguam kecewa Raja Petra ditahan ISA
BERNAMA


KUALA LUMPUR: Majlis Peguam kecewa dengan keputusan kerajaan menggunakan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) bagi menahan pengendali laman web Malaysia Today, Raja Petra Raja Kamaruddin selama dua tahun.

"Perintah tahanan itu sehari sebelum permohonan habeas corpus beliau didengar menyusahkan kerana ia menjejaskan permohonan itu," kata Presidennya, Datuk Ambiga Sreenevasan dalam satu kenyataan kepada Bernama di sini hari ini.

Beliau berkata, jika kesalahan dilakukan, Raja Petra boleh didakwa di mahkamah tetapi ISA digunakan terhadapnya ketika cara lain yang membolehkannya membela diri masih ada.

"Ia mengesahkan anggapan bahawa ISA digunakan untuk tujuan selain daripada keselamatan nasional. Ia digunakan untuk menyekat perbezaan pendapat," katanya.

Pelbagai pihak termasuk Jabatan Agama Islam Malaysia (Jakim) dan Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI) telah membuat laporan polis terhadap Raja Petra kerana menulis artikel yang dipercayai menghina Islam dan umat Islam.

Tiada ulasan: