Sabtu, 27 September 2008

Dana Khas/Wang Ehsan - Bukan kah BPR Pernah Siasat?
Wartawan Buletin


Kuala Terengganu – Kenyataan Menteri Besar, Dato’ Ahmad Said yang meminta Badan Pencegah Rasuah (BPR) menyiasat penyelewengan agihan Dana Khas/Wang Ehsan dialu-alukan oleh pimpinan PAS.

Ketua Dewan Pemuda PAS Terengganu, Ustaz Azman Shapawi Abdul Rani berkata BPR harus menerima cabaran MB Trengganu itu dan menyiasat perkara tersebut hingga ke akar umbi.

”Kita (PAS) setuju dengan MB supaya BPR siasat, mesti siasat sampai ke bawah, dikalangan penerima dan pemberi iaitu Jawatankuasa Keselamatan dan Kemajuan Kampung (JKKK),” kata beliau ketika ditemui Buletinonline semalam.

”DUN saya, Rantau Abang sedang mengumpul maklumat, InsyaAllah sedikit masa lagi akan dapat,”tambahnya mengulas isu agihan secara tidak adil Dana Khas Hari Raya yang sedang panas diperkatakan.

Timbalan Pesuruhjaya PAS Terengganu, Dato’ Ustaz Abu Bakar Chik menyokong cabaran Ustaz Azman dan menggesa supaya BPR melakukakan siasatan dengan segera.

Menurut beliau ketidakadilan dan penyelewengan dalam mengagihkan Dana Khas atau dulunya di panggil Wang Ehsan telah timbul sejak ia diperkenalkan pada tahun 2000.

”Bukankah BPR pernah menyiasat Wang Ehsan dulu, kalau tak silap pada tahun 2000, ketika wang ehsan mula diperkenalkan dan dikawal oleh UMNO Terengganu?,”soalnya.

Tinjauan BuletinOnline dikalangan rakyat umum mendapati lebih 80% yang ditemui berpendapat memang wujud ketidakadilan dalam pengagihan wang tersebut.

Seorang pelajar yang ditemui (tidak mahu namaya disiarkan) menyatakan keluarganya tidak mendapat bantuan ‘duit raya’ tersebut walaupun lebih susah daripada mereka yang menerimanya.

”Tak dapat, semuanya diberikan kepada orang rapat dengan JKKK,”kata beliau yang berasal dari Kampung Padang Hangus, Tepoh, Kuala Terengganu.

“saya hairan, sekejap-sekejap dia orang tukar beli Myvi baru, kemudian beli motosikal Legion baru,”tambahnya merujuk kepada salah seorang anggota JKKK dikampungnya.

Di daerah Besut seorang penerima wang ehsan dana khas hari raya mengakui beliau mendapat wang tersebut apabila namanya disenaraikan oleh saudaranya yang menjadi anggota kuat JKKK.

Namun menurutnya beliau hanya memperolehi sebanyak RM 200 sedangkan sepatutnya setiap penerima menerima RM 300.

Akhbar perdana Utusan Malaysia pada 19 September juga mendedahkan kira-kira 100 orang penduduk termasuk OKU dari Kampung Sungai Buaya dalam daerah Dungun kecewa kerana tidak mendapat bantuan Dana Khas Aidilfitri.

Sebelum itu, Buletinonline juga turut memaparkan penyelewengan yang sama yang berlaku dalam daerah Kuala Terengganu.

Seorang OKU dari Kampung Bukit Nenas, Tepoh Kuala Terengganu mengadu telah dinafikan duit raya angkara kezaliman JKKK

Penyelewengan JKKK dalam pengagihan Dana Khas mula dikesan seawal bulan Ogos lalu apabila mereka ‘memilih kasih’ dalam mengumpulkan nama-nama bagi penerima Dana Khas, nama lain bagi wang royalti minyak.

Sehubungan dengan itu, ADUN Ladang, Dato’ Tengku Hassan Tengku Omar berharap seramai 1,515 orang penerima yang dikatakan tercicir disebabkan masalah komputer, dapat diselesaikan dengan kadar segera kerana Aidil Fitri akan menjelang tidak berapa lama lagi.

Ahmad Said dalam kenyataan kepada sebuah akhbar semalam berjanji akan menyelesaikan masalah nama-nama yang tercicir disamping mengalu-alukan siasatan BPR sekiranya berlaku sebarang penyelewengan dalam proses pengagihan Dana Khas Bantuan Aidilfitri di negeri ini.

Tiada ulasan: