Jumaat, 19 September 2008

Ahli politik tidak boleh terlibat tender PBT
Sinar Harian


SHAH ALAM – Ahli politik tidak dibenarkan menjadi sebahagian daripada jawatankuasa atau terlibat dalam pengurusan tender atau sebut harga bagi sesuatu projek yang dijalankan oleh pihak berkuasa tempatan (PBT) di negeri ini.

Pengerusi Jawatankuasa Tetap Kerajaan Tempatan, Kajian dan Penyelidikan, Ronnie Liu berkata, peraturan yang bermula pada awal bulan ini merupakan langkah kerajaan negeri untuk menjadikan Ahli Majlis sebagai pemantau bagi semua tender dan sebut harga yang dijalankan.

“Mereka (Ahli Majlis) diberi hak untuk menyemak permohonan dan proses bagaimana seseorang itu berjaya mendapatkan tender namun mereka tidak boleh membuat keputusan,” katanya kepada Sinar Harian semalam.

Beliau berkata sistem yang masih lagi di peringkat ujian ini merupakan usaha kerajaan negeri untuk mengurangkan campur tangan politik dalam pentadbiran PBT dan menghapuskan gejala rasuah.

“Semua tender dan sebut harga yang berjaya mestilah dipaparkan di PBT masing-masing dan perlu diberitahu kepada semua Ahli Majlis serta dipaparkan di laman web masing-masing untuk tujuan ketelusan,” katanya.

Beliau berkata, kebenaran membolehkan Ahli Majlis menjadi pemantau dalam urusan ini juga bertujuan untuk memastikan tiada sebarang salah guna kuasa dan rasuah yang dilakukan oleh pegawai-pegawai yang terlibat dalam urusan tender dan sebut harga berkenaan.

Dalam perkembangan lain, Ronnie berkata, untuk membolehkan Ahli Majlis menjalankan khidmat mereka dengan lebih berkesan, pihaknya telah mewujudkan 24 zon bagi satu-satu kawasan PBT dan setiap ahli majlis bertanggungjawab terhadap zon mereka.

Katanya, sistem zon yang diwujudkan dua bulan yang lalu ini bertujuan untuk memudahkan Ahli Majlis menjaga kawasan mereka dan membolehkan masyarakat setempat mengenali dengan lebih dekat ahli majlis yang bertanggungjawab di kawasan masing-masing.

“Ada 24 zon dan setiap orang akan jaga satu kawasan. Setiap Ahli Majlis akan diberi sebuah pejabat dan seorang kerani di zon mereka. Kita juga ada menyediakan peruntukkan di PBT masing-masing mengikut keluasan PBT tersebut,” katanya.

Beliau berkata terdapat juga sesetengah Ahli Majlis yang terpaksa berkongsi pejabat dan kerani melihat kepada kedudukan kewangan PBT yang terlibat.

“Dalam rancangan kita, kita mahu pejabat itu menjadi pusat khidmat dan juga pusat aktiviti masyarakat. Orang setempat tahu siapa Ahli Majlis mereka. Mereka juga diberi hak untuk menubuhkan satu jawatankuasa setempat,” katanya.

Beliau berkata, dengan tertubuhnya jawatankuasa tersebut dijangkakan aduan mengenai masalah yang dihadapi oleh penduduk di sesuatu zon akan berkurangan.

Katanya, Ahli Majlis juga digalakkan meminta peruntukan daripada Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) masing-masing sekiranya peruntukan yang diberikan tidak mencukupi kerana secara langsung dan tidak langsung mereka telah membantu wakil rakyat di kawasan mereka.

Dalam pada itu, beliau berkata, kerajaan negeri juga baru sahaja melancarkan sistem ‘Lesen Perniagaan Serta-merta’ bagi mengatasi masalah peniaga yang lewat mendapat lesen yang dipohon.

“Terdapat 57 jenis perniagaan yang boleh mendapatkan lesen perniagaan secara serta merta antaranya kedai aksesori kereta, kedai aksesori wanita, kedai alat tulis dan kedai buku,” katanya.

Beliau berkata lesen yang dipohon boleh diluluskan dalam masa sehari namun terdapat beberapa syarat dan proses yang perlu dipatuhi, walau bagaimanapun, pemohon untuk tujuh daripada 57 jenis perniagaan tersebut iaitu kedai aiskrim, kedai kawalan serangga, kedai runcit, kedai produk kesihatan, kedai makan, tadika dan hotel bajet perlu mematuhi syarat khusus yang ditetapkan sebelum lesen dikeluarkan.

“Mereka tidak perlu dapatkan sokongan daripada ADUN. Dulu semua lesen kena dapat sokongan daripada ADUN, sekarang kita sudah hapuskan sistem itu,” katanya.

Tiada ulasan: