Ahad, 28 September 2008

17 Keluarga Tahanan ISA Dapat Perhatian Kerajaan Negeri
NOOR ALLIA KASSIM


SHAH ALAM – Soal kebajikan bagi 17 keluarga tahanan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) dari Selangor sentiasa menjadi keutamaan kerajaan Pakatan Rakyat di negeri ini.

Selangor yang menjadi negeri pertama mengusulkan agar ISA dimansuhkan ketika persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Mei lalu, prihatin dengan nasib keluarga tahanan dengan menghulurkan pelbagai bantuan.

Pengerusi Jawatankuasa Tetap Kebajikan, Hal Ehwal Wanita, Sains Teknologi dan Inovasi, Rodziah Ismail berkata sejak menerima baik memorandum Gerakan Mansuhkan Isa (GMI) empat bulan lalu, pihaknya telah mengatur program bantuan khasnya dalam menjaga kebajikan keluarga terbabit.

Rodziah berkata walaupun akta itu tertakluk di bawah kuasa kerajaan pusat, kerajaan negeri akan terus mendesak agar ia dimansuhkan.

Menurut Rodziah, antara bantuan yang dihulurkan kepada keluarga mangsa ialah pengangkutan percuma untuk melawat suami atau bapa yang ditahan di Pusat Tahanan Kamunting yang sudah bermula Jun lalu.

Katanya, keluarga terbabit turut dilindungi insuran dalam setiap perjalanan yang disediakan setiap dua minggu.

Sempena hari raya Aidilfitri dan Deepavali, kerajaan negeri juga menghulurkan RM500 untuk setiap keluarga bagi meringankan bebanan yang ditanggung.

“Daripada apa yang kita berikan ini, kita tidaklah kata kita menyokong ISA.

“Kerajaan negeri masih tetap mendesak supaya ISA ini dimansuhkan kerana ia adalah satu akta zalim yang tidak boleh digunapakai. Ia juga hanya merosakkan minda isteri dan anak-anak mangsa,” katanya kepada pemberita pada majlis penyerahan sumbangan hari raya di pejabatnya di Bangunan SSAAS dekat sini petang tadi.

Rodziah menambah pihaknya juga sedang merancang untuk menyediakan bantuan pelajaran percuma bagi anak tahanan di Yayasan Selangor selain biasiswa bagi mereka yang hendak menyambung pelajaran ke universiti.

Sementara itu isteri kepada Mat Shah Mohd Satray, Norlaila Othman yang ditemui pada majlis itu berterima kasih di atas keprihatinan kerajaan negeri Selangor atas nasib yang menimpa keluarga tahanan.

Menurutnya pemberian pelbagai bantuan itu adalah sesuatu yang menggembirakan kerana penderitaan mereka difahami kerajaan negeri.

“Apabila dapat sumbangan daripada kerajaan negeri, kita rasa terharu. Kita ini hanya rakyat biasa, jadi bila ada perhatian seperti ini kita rasa sangat istimewa,” katanya.
Tambahnya, hari raya Aidilfitri tidak disambut dengan suasana sebenar sejak suami ditahan enam tahun lalu.

“Selama ini kami sebuah keluarga bahagia, tetapi ISA telah meragut kebahagiaan tersebut sejak enam tahun lalu.

“Selagi ISA masih ada, kita tidak akan dapat hidup dalam aman dan harmoni, terutamanya bagi kami keluarga mangsa,” tambahnya.

Norlaila berkata walaupun tidak mampu menghindar perasaan sedih, kehidupan perlu diteruskan demi anaknya yang kini berumur 15 tahun.

Beliau berkata rakyat di negara ini juga ramai yang prihatin dan sentiasa memberi sokongan padu kepada keluarga mangsa.

Katanya, sokongan kewangan dan kasih sayang daripada rakyat sangat dihargai dan dalam masa sama mereka turut mengharapkan sokongan dalam kempen-kempen memansuhkan ISA.

Tiada ulasan: