Ahad, 31 Ogos 2008

Mikrocip RM1.2 juta dirompak
BERNAMA


BUKIT MERTAJAM – Tiga lelaki yang menyamar sebagai anggota Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) melarikan mikrocip komputer bernilai RM1.2 juta daripada sebuah van keselamatan di sini semalam.

Kejadian berlaku kira-kira pukul 3.30 petang ketika pemandu van tersebut baru sahaja mengambil muatan mikrocip berkenaan dari sebuah kilang elektronik di bandar Sunway, Seberang Jaya, dekat sini.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Tengah (SPT), Asisten Komisioner, Dr. Mohd. Shah Husin Shah berkata, ketiga-tiga suspek yang memakai jaket JPJ meminta pemandu van tersebut memberhentikan kenderaan untuk pemeriksaan.

‘‘Menyangka kumpulan itu adalah anggota JPJ, pemandu van memberhentikan kenderaan sebelum dua suspek meluru masuk.

‘‘Kedua-dua suspek yang bersenjatakan pisau kemudiannya mengikat tangan mangsa dan menutup matanya menggunakan kain sebelum melarikan van tersebut,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Mohd. Shah berkata, berlaku pergelutan ketika mangsa cuba melepaskan diri sehingga menyebabkannya mengalami kecederaan pada bahagian tangan.

Katanya, ketiga-tiga suspek kemudiannya memindahkan muatan bahan tersebut ke sebuah kenderaan lain di Taman Sutera, dekat sini sebelum melarikan diri.

‘‘Dengan bantuan orang ramai, pemandu van tersebut berjaya melepaskan diri sebelum membuat laporan polis,” jelasnya.

Beliau berkata, kes itu disiasat mengikut Seksyen 394 Kanun Keseksaan atas kesalahan merompak.

Sehubungan itu, orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung kejadian tersebut diminta menghubungi Ibu Pejabat Polis Daerah SPT di talian 04-5382222 atau balai polis berhampiran untuk membantu siasatan.

Tiada ulasan: