Jumaat, 22 Ogos 2008

MB Perak desak BPR mohon maaf
MALAYSIA KINI


Menteri Besar Perak Datuk Mohamad Nizar Jamaluddin menuduh Badan Pencegah Rasuah (BPR) membuat dakwaaan palsu berhubung penahanan dua exco kerajaan negeri itu dalam siasatan kes rasuah.

Bercanggah dengan dakwaan BPR, Nizar berkata, kedua-duanya tidak ditahan di sebuah hotel atau kerajaan negeri telah meluluskan projek perumahan bernilai RM180 juta di Seri Iskandar.

Sehubungan itu, beliau meminta BPR supaya membuat memohon maaf secara terbuka kepada dua exco tersebut.

Jamaluddin Mohd Rozi dan Mohd Osman Mohd Jailu - dua orang exco daripada PKR dalam kerajaan campuran tiga parti melibatkan juga DAP dan PAS - ditahan kelmarin bersama dua ahli perniagaan, seorang ahli Majlis Daerah Perak Tengah dan seorang juruteknik Perbadanan Kemajuan Negeri Perak (PKNP).

Jika BPR gagal memohon maaf, Mohamad Nizar berkata, tindakan undang-undang akan diambil terhadap badan itu bagi membersihkan nama mereka serta kerajaan negeri.

Para pemimpin PKR telah membayangkan bahawa kes itu ada kaitan dengan usaha BN untuk menarik sekurang-kurangnya dua wakil rakyat dalam kerajaan Perak sekarang, untuk melompat menyertainya.

Menurut laporan akhbar Sin Chew Daily hari ini, Jamaluddin (foto kanan) kelihatan tersenyum ketika dibebaskan tadi dan memberitahu pemberita bahawa "pelan 31 Ogos telah gagal".

Beliau merujuk kenyataan pengerusi badan perhubungan Umno Perak, Datuk Tajol Rosli Ghazali sebelum ini bahawa kerajaan Pakatan Rakyat negeri itu akan tumbang menjelang hari Kemerdekaan.

Kerajaan Pakatan Perak hanya mempunyai kelebihan majoriti tiga kerusi berbanding BN.

Nafi bermotif politik

Keenam-enam individu yang ditahan BPR itu didakwa oleh badan itu meminta rasuah wang dan seks daripada seorang ahli perniagaan untuk mempercepatkan permohonan bagi projek perumahan tersebut.

Rabu lalu, pengarah BPR Perak, Samsiah Abu Bakar memberi butir-butir mengenai penangkapan mereka.

Beliau berkata, RM100,000 berada dalam sebuah beg milik salah seorang suspek dan lima daripada mereka ditahan di sebuah hotel pada jam 6 petang Selasa lalu.

Samsiah menambah, lebih RM20,000 telah bertukar tangan minggu lalu dan BPR bertindak atas maklumat orang ramai.

BPR jarang mendedahkan maklumat mengenai siasatannya dan mengenai tangkapan yang dibuat, sebelum membawa perkara itu ke mahkamah.

BPR dan pemimpin kerajaan pusat telah menafikan bahawa penangkapan mereka itu bermotifkan politik.

Tiada ulasan: