Jumaat, 29 Ogos 2008

Dr Lo'lo kecewa sikap tak bertanggungjawab JKM
Nyza Ayob


KUALA LUMPUR - Dr Lo'lo Mohd Ghazali (PAS - Titiwangsa) mempersoalkan mengenai peruntukan bagi tahun 2008 yang diberikan Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat bagi aktiviti kebajikan dan kemasyarakatan di setiap Parlimen.

Jelasnya, beliau kurang pasti kemana serta melalui siapa peruntukan tersebut disalurkan kerana selaku Ahli Parlimen beliau belum memperolehi sebarang peruntukan untuk tujuan tersebut.

Beliau berkata demikian sewaktu mengemukakan soalan tambahan dalam sesi soal jawab di Dewan Negara pada 19 Ogos lalu.

Lo'lo turut melahirkan kekecewaan kerana gagal mendapat kerjasama Jabatan Kebajikan Masyarakat sewaktu beliau mengadakan program yang menghimpunkan 700 orang ibu tunggal di kawasan Titiwangsa.

"Saya telah berhubung dengan Jabatan Kebajikan Masyarakat dengan pengarahnya sendiri untuk mendapatkan kerjasama. Malah beliau telah berjanji untuk menghantar wakil dalam program tersebut.

"Saya mengadakan program tersebut kerana mengambil kira kenyataan yang dibuat Dato' Ng Yen Yen. Saya tidak faham dua hari sebelum program tersebut, wakil Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Wilayah Persekutuan tidak mahu menghadirkan diri. Jadi saya ingin bertanya adakah 700 orang ibu tunggal di kawasan Titiwangsa tidak penting sehingga wakil JKM tidak mahu menghadirkan diri?" soalnya.

Lo'lo juga mempersoalkan apakah ketidak hadiran pegawai daripada JKM itu disebabkan terdapat halangan daripada pihak kementerian.

Menjawab soalan tersebut, Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Dato' Noriah Kasnon menyatakan beliau tidak mendapat sebarang makluman mengenai himpunan ibu tunggal yang dikatakan sepatutnya terdapat wakil daripada JKM.

"Saya yakin ia bukanlah arahan daripada pihak kementerian. Bagaimanapun untuk mendapat jawapannya, YB boleh menghantar surat dan minta penjelasan daripada pihak terbabit," katanya.- (tmj)_

Tiada ulasan: