Jumaat, 22 Ogos 2008

(Dikemas kini)

'Saya imam sah, memang ahli Pemuda Umno' - Ramlang saksi sumpah Saiful
Oleh G. MANIMARAN dan ARIFFUDDIN ISHAK


PETALING JAYA: Ustaz Ramlang Porigi yang menyaksikan upacara bersumpah Mohd Saiful Bukhari Azlan pada Jumaat lalu menafikan dakwaan yang tersebar dalam internat bahawa beliau bukan seorang imam bertauliah, sebaliknya hanya bilal.

"Dakwaan itu mungkin dirujuk kepada jawatan saya dalam Jabatan Kemajuan Agama Islam (Jakim) iaitu sebagai Pembantu Hal Ehwal Islam," kata Imam Masjid Wilayah Persekutuan ketika dihubungi mStar Online.

Bagaimanapun, menurut Ramlag, apabila ditempatkan di Masjid Wilayah Persekutuan, beliau menjalankan tugas sebagai imam dengan gred perkhidmatan S17.

"Di sini saya ialah seorang imam. Saya juga bertindak sebagai jurunikah dan ketua amil.

"Tetapi saya bukan imam besar kerana di masjid ini terdapat sembilan orang imam yang ditempatkan oleh Jakim," katanya.

Ramlang mula dikenali apabila bertindak sebagai saksi semasa Saiful, bekas pembantu Penasihat Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim, bersumpah laknat di Masjid Wilayah Persekutuan, Jumaat lalu.

Berhubung kenyataan yang mengatakan beliau adalah ahli Umno di kawasan Parlimen Permatang Pauh, beliau mengakui perkara tersebut.

"Ya, saya ahli Umno dari Dewan Undangan Negeri (DUN) Penanti di bawah Parlimen Permatang Pauh," kata beliau.

Tinjauan mStar Online di Permatang Pauh mendapati risalah edaran yang mempertikaikan Ramlang sebahagi ahli Pemuda Umno dengan nombor keahlian 03405843 disebarkan dengan meluas ketika ini.

Risalah itu menyebut beliau merupakan ahli Umno Cawangan Seri Macang dalam Bahagian Bukit Mertajam.

Peti undi Ramlang ialah Penanti dalam bahagian Permatang Pauh.

Kandungan risalah itu menyebut: "Akhirnya tembelang orang yang bernama Ramlang Porigi, yang dikatakan imam yang menjadi saksi sumpah mubahalah Saiful terdedah juga.

"Beliau adalah ahli Pemuda Umno Cawangan Seri Machang dalam Bahagian Bukit Mertajam dengan kod keahlian 03405843.

"Tidak menghairankan kepada semua ini, bagaimana pantas "imam" ini memperakui mubahalah yang dilakukan oleh Saiful, sekalipun mubahalah itu diragui oleh banyak pihak sebagai tidak mengikuti kaedah Islam."

Kempen pilihan raya kecil Permatang Pauh bermula Sabtu lalu manakala hari pengundian pula Selasa depan.

Beliau juga didakwa mengikuti pengajian di kawasan Penanti beberapa tahun lalu.

Beliau yang berasal dari Sabah menjelaskan, pernah belajar di Pondok Penanti Permatang Pauh selama tujuh tahun sebelum berhijrah ke Kuala Lumpur sekitar tahun 2003.

"Semasa saya belajar di sana saya mendaftar sebagai ahli Umno," katanya.

Ditanya sama ada beliau pulang mengundi di Permatang Pauh pada pilihan raya umum lalu, beliau berkata, tidak dapat berbuat demikian kerana menjalankan tugas.

"Kali terakhir saya mengundi di sana ialah pada tahun 2004. Pada pilihan raya kecil 26 Ogos ini pun saya rasa tidak berpeluang untuk pulang mengundi kerana faktor keselamatan," katanya yang mengakui menerima nasihat agar tidak pulang mengundi oleh kenalan yang masih berada di sana.

Tiada ulasan: