Khamis, 28 Ogos 2008

BPR masih belum dapat hubungi Nallakaruppan

PUTRAJAYA: Badan Pencegah Rasuah (BPR) mengesahkan bekas orang kanan Datuk Seri Anwar Ibrahim, Datuk S. Nallakaruppan masih belum dapat dihubungi bagi mendapat keterangan tentang dakwaannya terhadap Penasihat Parti Keadilan Rakyat (PKR) itu menerima wang RM60 juta daripada sebuah syarikat perjudian.

Pengarah Siasatan BPR Datuk Shukri Abdull berkata beliau telah mengarahkan pegawainya untuk menghubungi Nallakaruppan dengan segera berkaitan dakwaan itu.

"Kita sedang menghubungi dia, sekarang tak dapat lagi," katanya kepada pemberita ketika ditanya bila Nallakaruppan akan dipanggil oleh BPR berhubung perkara itu, di sini hari ini.

Semalam, Timbalan Ketua Pengarah I BPR Datuk Abu Kassim Mohamed berkata BPR akan memanggil Nallakaruppan bagi mendapatkan maklumat lanjut berhubung dakwaan itu.

Sabtu lalu, Nallakaruppan mendakwa Anwar menerima RM60 juta daripada syarikat perjudian terbabit ketika beliau menjadi pengarah perhubungan awam syarikat berkenaan.

Nallakaruppan, yang juga bekas sahabat baik Penasihat PKR itu, turut mendakwa Anwar meluluskan banyak lesen perjudian serta kedai empat nombor ekor ketika menjadi Menteri Kewangan serta Timbalan Perdana Menteri dulu.

Ditanya sama ada Nallakaruppan akan dipanggil ke ibu pejabat BPR di sini, Shukri berkata: "Mungkin." BERNAMA

Tiada ulasan: