Khamis, 28 Ogos 2008

Bekalan Air: Perak akan bantu Pulau Pinang, Selangor
Harakahdaily


IPOH - Kerajaan negeri Perak bercadang menyalurkan bekalan air di negeri ini kepada Pulau Pinang dan Selangor sebagai usaha membantu mengurangkan kos penyelenggaraan infrastruktur dan kemudahan awam di dua negeri itu.

Bernama melaporkan Menteri Besar Perak Dato' Seri Mohammad Nizar Jamaluddin berkata, dengan jumlah sumber air yang banyak di Perak, kerajaan negeri boleh membantu kedua-dua negeri berkenaan mengurangkan kos penyelenggaraan air.

Beliau berkata di peringkat awal ini Perak yang diwakili Lembaga Air Perak sedang berbincang dengan Perbadanan Bekalan Air Pulau Pinang Sdn Bhd bagi melaksanakan kajian teknikal dan perancangan untuk penyaluran air.

Perak mempunyai sumber yang mencukupi untuk membekalkan bantuan air kepada kedua-dua negeri itu iaitu kawasan Kerian di bahagian Utara dan Lembah Bernam di Selatan, katanya kepada pemberita di sini semalam.

Terdahulu Mohammad Nizar menerima kunjungan hormat Timbalan Ketua Menteri Pulau Pinang, Mohammad Fairus Khairuddin di pejabatnya di sini.

Sementara itu, Mohammad Fairus berkata kerajaan negeri Pulau Pinang bersedia memberi komitmen yang tinggi terhadap usahasama kedua-dua negeri itu.

"Perbincangan antara Perak dan Pulau Pinang cukup baik dan akan diperincikan lagi selepas ini," katanya. - mks._

Tiada ulasan: