Ahad, 31 Ogos 2008

Bantuan golongan miskin, Pakatan Rakyat tidak pilih kasih
Intan Abdullah


GOMBAK SETIA - Kerajaan Pakatan Rakyat di Selangor tidak pernah mengamalkan dasar diskriminasi dalam menyalurkan bantuan kepada rakyat.

Exco Kerajaan Negeri Selangor, Dato' Dr Hasan Ali berkata ia merupakan perbezaan antara kerajaan sebelum ini iaitu BN dengan kerajaan Pakatan Rakyat.

"Kita dalam kerajaan Pakatan Rakyat tidak mengamalkan dasar pilih parti bagi mengagihkan bantuan dan sumbangan kepada rakyat," ujarnya dalam majlis penyampaian sumbangan kebajikan kepada penduduk Gombak Setia di Dewan Orang Ramai, Jalan 2, Taman Gombak semalam.

Jelasnya, tanpa meneliti sokongan yang diberikan dalam pilihan raya lalu, kerajaan Pakatan Rakyat tetap akan memberikan bantuan kepada sesiapa sahaja yang memerlukan

"Berbeza dengan kerajaan BN, kita Pakatan Rakyat tidak mengira parti, kaum dan agama anda kerana sekarang kita adalah kerajaan yang dipilih oleh rakyat negeri selangor untuk berkhidmat dan membantu anda," katanya.

Dalam ucapannya juga, beliau menyatakan bahawa usaha yang dijalankan itu adalah sebagai melaksanakan misi membebaskan Gombak setia daripada belenggu kemiskinan selain ianya menjadi tanda hati sempena bulan Ramadhan yang bakal tiba.

Kira-kira 200 individu daripada 15 zon dalam daerah tersebut menerima bantuan berupa beras sebanyak 5 kilogram, gula dan susu terdiri daripada kategori fakir miskin, ibu tunggal serta warga emas.

Sebelum berangkat meninggalkan majlis, beliau sempat mendengar aduan dan keluhan beberapa penduduk di kawasan tersebut yang datang merujuk masalah mereka untuk perhatian pihak kerajaan negeri

Ia merupakan rutin atau kebiasaan beliau yang juga merupakan Pesuruhjaya PAS Selangor setiap kali turun ke kawasannya. - mks._

Tiada ulasan: