Sabtu, 30 Ogos 2008

Anwar bertemu pengundi Permatang Pauh, ucap terima kasih
Mohd Sabri Said


PERMATANG PAUH - Ahli Parlimen Permatang Pauh, Dato' Seri Anwar Ibrahim hari ini mengadakan lawatan kerja pertamanya setelah distiharkan menang dalam pilihan raya kecil parlimen itu pada 26 Ogos lalu

Sejak sampai semalam jadualnya ketat semata-mata mahu berjumpa rakyat yang inginkan beliau dipertanggungjawabkan menanggung amanah untuk meredakan bebanan rakyat dengan kenaikan barangan seharian dan petroleum.

Menurut Timbalan Ketua Bahagian Parti Keadilan Rakayat (KeADILan) Permatang Pauh, Che Mat Haji Hashim lawatan hari ini bertujuan mengucapkan terima kasih beliau kepada pengundi yang sanggup mempertahankan undi Pakatan Rakyat sehinggakan mengaibkan pengaruh Umno dan Barisan Nasional (BN) di ketiga-tiga Dewan Undangan Negeri (Dun) iaitu Permatang Pasir, Penanti dan Seberang Jaya.

"Lawatan pertama ini merupakan lawatan ucapan terima kasih Dato' Seri Anwar kepada semua pengundi yang memangkahnya pada pilihan raya kecil 26 Ogos lalu, " ujarnya ketika dihubungi Harakahdaily pagi tadi.

Kata beliau, selain mengadakan pertemuan dengan pengundi di jamuan makan di Permatang Pasir , Kampung Pelet, Padang Ibu, Sungai Semambu, Kampung Pertama dan Permatang Janggus program dua hari itu juga mempertemukan beliau dengan pengundi Cina berdekatan Markas Pemuda KeADILan Pusat di Taman Cermai pukul 3.00 petang tadi dan pengundi India di Kampung Bagan Serai pada jam 3.00 petang esok.

Bukan itu sahaja malahan pertemuan dengan semua Ahli Jawatankuasa Bahagian, Pemuda dan Wanita juga diatur bagi mendapat suntikan memperkukuhkan lagi saf yang sedia ada.

Ujar Che Mat lagi, selepas lawatan kerja itu beliau yakin ramai golongan muda terutamanya akan mengambil sikap berpaling tadah daripada Umno-BN untuk menyertai KeADILan atau parti lain dalam Pakatan Rakyat.

"Yakinlah kita akan bertambah kukuh dengan penyertaan ramai lagi ahli selepas ini.

Apa yang penting ialah semaikan ukhwah yang kuat semasa sendiri untuk berhadapan dengan Umno-BN dalam pilihan raya umum ke-13 nanti, " tegasnya. - mks.

Tiada ulasan: