Khamis, 31 Julai 2008

Wakil rakyat SAPP tetap mahu sokong usul tidak percaya Perdana Menteri

KOTA KINABALU: Sekalipun Parti Maju Sabah (SAPP) mengambil langkah untuk menjawab surat tunjuk sebab Barisan Nasional (BN) pada tarikh akhir hari ini, seorang daripada dua anggota Parlimennya menegaskan parti itu tetap akan menyokong sebarang usul tidak percaya di Dewan Rakyat terhadap Perdana Menteri Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi.

Setiausaha Agung SAPP, Datuk Richard Yong berkata, jawapan kepada surat itu yang dikeluarkan oleh BN selepas SAPP memutuskan pada mesyuarat Majlis Tertingginya pada 20 Jun bahawa ia akan menyokong sebarang usul tidak percaya terhadap
Abdullah, akan dihantar pada bilabila masa hari ini dan akan menjelaskan tindakan
SAPP sebagaimana dikehendaki oleh Dewan Tertinggi BN.

"Kami belum menetapkan waktu untuk menghantar surat itu. Tetapi bila-bila masa saja hari ini oleh kerana hari ini adalah hari terakhir tempoh 30 hari untuk menjawab.

"Kami akan hantar mengikut cara ia diterima," kata beliau. BN menghantar surat tunjuk sebab itu menerusi kurier.

Yong enggan mengumumkan kandungan penuh jawapan itu tetapi berkata ia mengulangi "pendirian awal" parti komponen BN itu.

Sementara itu, Timbalan Presiden SAPP dan MP Sepanggar Datuk Eric Enchin Majimbun, bila dihubungi Bernama, berkata parti itu akan menyokong sebarang usul tidak percaya di Dewan Rakyat terhadap Abdullah.

"Kami hanya mahu menjelaskan dalam surat (jawapan kepada surat tunjuk sebab) bahawa kami adalah tegas dalam pendirian kami. Apa yang kami buat adalah demi rakyat Sabah.

"Ya, kami (SAPP) telah hilang keyakinan terhadap perdana menteri. Tetapi ini tidak bererti bahawa kami mesti mengemukakan usul tidak percaya di Parlimen.

"Kami akan lihat bila masa sesuai (mengemukakan usul tidak percaya), jika terdapat keperluan," kata beliau.

Seorang lagi MP SAPP ialah Naib Presiden parti, Datuk Dr Chua Soon Bui, yang mewakili Tawau. Pemimpin berkenaan tidak dapat dihubungi untuk komen. BERNAMA

Tiada ulasan: