Ahad, 27 Julai 2008

Persefahaman dengan bukan Islam demi perpaduan
Ekmal Yusof


IPOH - Presiden PAS, Tuan Guru Dato' Seri Abdul Hadi Awang berkata, PAS bersedia mengadakan persefahaman dengan rakan-rakan bukan Islam demi perpaduan.

Persefahaman itu katanya berpandukan kepada spiritual dan kerohanian serta kesucian Islam yang dituntut oleh Allah.

"PAS bersedia mengadakan persefahaman dengan rakan-rakan berlainan ideologi dan berlainan agama dengan kita," tegasnya semasa berucap merasmikan Konvensyen PAS Perak Ke-13 di Dewan Orang Ramai Rapat Setia dekat sini semalam.

Beliau memetik firman Allah, "Allah tidak menghalang kamu untuk berbuat baik kepada orang-orang bukan Islam yang bersikap baik kepada kamu. Yang tidak menghalau kamu dan yang tidak memusuhi kehidupan kamu".

Sehubungan itu tegas beliau, hendaklah berlaku adil dengan mereka dengan sebaik-baiknya.

"Dengan dasar-dasar inilah PAS mengadakan persefahaman, pemufakatan yang diluluskan oleh Majlis Syura Ulama, untuk mengadakan persefahaman dengan parti-parti lain walau pun berbeza ideologi, kefahaman kehidupan dan agama tetapi disana ada titik persamaan," jelasnya./wann _

Tiada ulasan: