Isnin, 28 Julai 2008

Pengusaha Restoran Di Selangor Dibenarkan Letak Meja Di Luar Kedai


SHAH ALAM -- Semua pengusaha restoran di Selangor dibenarkan meletak meja di kawasan kaki lima dan tempat letak kereta di depan kedai berikutan kecenderungan rakyat negara ini yang lebih gemar makan di tempat terbuka.

Bagaimanapun, Pengerusi Jawatankuasa Tetap Kerajaan Tempatan, Kajian dan Penyelidikan Selangor, Ronnie Liu berkata pengusaha restoran perlu memohon dengan Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) di kawasan masing-masing terlebih dahulu serta mematuhi syarat-syarat yang ditetapkan.

"Kita telah ambil keputusan untuk benarkan tetapi setiap pekedai kena buat permohonan kepada PBT masing-masing dengan syarat-syaratnya seperti menjaga keselamatan pelanggan dan kebersihan kawasan masing-masing," katanya kepada pemberita selepas mesyuarat exco kerajaan negeri di sini petang ini.

Ronnie berkata pada 2005, kerajaan negeri sebelum ini pernah menetapkan garis panduan untuk memberi peluang pengusaha restoran meletakkan meja dan kerusi di luar kedai tetapi mengehadkannya kepada restoran yang terletak di unit tepi bangunan.

Dalam perkembangan lain, Ronnie berkata kerajaan negeri memberi tempoh sebulan kepada pemilik kabin yang dibina secara haram di atas padang atau padang permainan di kawasan perumahan untuk mengosong atau merobohkan bangunan masing-masing.

Ini kerana, banyak kabin dibina secara haram tanpa kelulusan PBT terutama oleh parti-parti politik yang menjadikannya sebagai pusat khidmat masyarakat, katanya.

"Mengikut undang-undang dan peraturan sedia ada, ianya jelas bahawa tiada sesiapa yang berhak untuk membina apa jua struktur binaan tanpa kebenaran PBT. Jadi kita tegaskan bahawa kita akan ambil tindakan jika kita dapati masih ada pemilik kabin yang enggan mengosongkan tempat masing-masing," katanya.

Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Tetap Kesihatan, Pekerja Ladang, Kemiskinan dan Kerajaan Prihatin negeri, Dr. Xavier Jayakumar berkata kerajaan negeri akan memperluaskan sistem demerit restoran yang sebelum ini diperkenalkan dalam kawasan Majlis Bandaraya Shah Alam ke kawasan PBT lain di Selangor.

Beliau berkata ia bagi membolehkan semua restoran di negeri itu dinilai secara seragam dalam usaha memastikan setiap pengusaha restoran menyediakan makanan serta minuman yang bersih kepada pelanggan.

"Jika ada restoran yang mencatatkan demerit tinggi, perkhidmatan mereka akan digantung," katanya.

Sementara itu, Xavier meminta Kementerian Kesihatan menambah perbelanjaan untuk hospital di negeri itu berikutan pertambahan jumlah pesakit sejak akhir-akhir ini ekoran kenaikan harga minyak.

"Dulu kalau 70 peratus penduduk ke hospital kerajaan untuk rawatan tetapi sekarang kita lihat ada kenaikan kira-kira 10 peratus. Jadi kita nak minta kerajaan pusat untuk meningkatkan perbelanjaan untuk hospital di semua tempat sebab kita nampak sekarang peruntukan itu tidak mencukupi," katanya.-- BERNAMA

Tiada ulasan: