Jumaat, 18 Julai 2008

MB Selangor jamin tiada masalah dalam Pakatan Rakyat
Saidah Hairan


SHAH ALAM - Perbincangan PAS-Umno yang berkaitan hak orang Melayu dan hal yang berkaitan dengan agama Islam merupakan satu perkara biasa dan rakyat perlu menerima pembaharuan tersebut.

Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim berkata, seperti perdebatan mantan Timbalan Perdana Menteri, Dato' Seri Anwar Ibrahim dengan Menteri Penerangan, Dato' Shabery Cheek ia merupakan satu pembaharuan.

Katanya, ia merupakan satu pembaharuan dalam politik negara di mana diadakan perbincangan mengenai isu politik dan pengurusan ekonomi.

Begitu juga tambah beliau, kerajaan Negeri juga bersedia bersama-sama dengan Kerajaan Persekutuan untuk membincangkan perkara yang menyentuh ekonomi.

"Ini supaya kita dapat mengurangkan bebanan akibat kenaikan harga minyak dan barangan terutama terhadap syarikat kecil dan sederhana," tegasnya dalam sidang media selepas mesyuarat exco.

Beliau bertanya, apakah perbincangan itu merupakan satu politik baharu atau usahasama yang perlu dilakukan kerana negeri tentu mempunyai kekuatan yang boleh menyokong manakala kerajaan Persekutuan pula ada cara yang boleh bekerjasama.

"Saya percaya Pakatan Rakyat merupakan satu kumpulan politik yang dapat mentadbir kerajaan dengan baik di negeri Selangor," tegasnya.

Beliau menjamin hubungan exco kerajaan amat erat dan bersama-sama bekerja untuk membangunkan negeri Selangor.

"Saya tidak fikir Pakatan Rakyat ada masalah tentang hubungan," jelasnya.

Berhubung penahanan Ketua Umum KeADILan, Dato' Seri Anwar Ibrahim beliau berharap, pihak polis dapat menjalankan tugas dan tanggungjawab secara profesional.

Ini kerana katanya, Anwar ditahan bukan atas alasan seorang penjenayah.

Khalid berharap demi kebaikan beliau, keluarga dan rakan-rakan, jangan dilakukan pengkhianatan terhadap penahanan tersebut.

Sebagai Setiausaha Agung KeADILan, beliau juga berharap pihak polis dan pengamal undang-undang dapat menjalankan tugas dan tanggungjawab secara profesional.

Katanya, Anwar tidak perlu ditahan kerana beliau dan seluruh pimpinan dan ahli Pakatan Rakyat tidak berniat untuk merosakkan negara sebaliknya mahu terus memajukan negara serta meningkatkan taraf hidup rakyat. - lanh _

Tiada ulasan: