Isnin, 21 Julai 2008

KEMASKINI

PAS temui Umno demi Pakatan di S'gor
Muda Mohd Noor


PAS mengadakan pertemuan dengan Umno bertujuan mengelakkan sebarang masalah pembentukan kerajaan Pakatan Rakyat di Selangor, jelas ahli jawatankuasa kerja PAS Khalid Samad yang menyertai perbincangan tersebut.

"Kita berunding dengan Umno supaya parti itu tidak membuat kacau kepada kerajaan negeri Selangor kerana PAS telah mengeluarkan surat menyokong (wakil PKR, Tan Sri) Abdul Khalid (Ibrahim) sebagai menteri besar," katanya kepada Malaysiakini.

Ketika itu, tambahnya, Abdul Khalid belum mengangkat sumpah sebagai menteri besar Selangor dan keadaan tidak menentu saat itu membimbangkan Pakatan jika Umno tidak membenarkan pembangkang membentuk kerajaan negeri.

Pada asalnya pertemuan pertama itu diundang oleh Umno untuk membincangkan pembentukan kerajaan negeri Selangor bersama PAS sejurus selepas pilihanraya umum 8 Mac.

"Umno mencadangkan kepada PAS untuk membentuk kerajaan negeri Selangor kerana Abdul Khalid (waktu itu) belum dilantik menjadi menteri besar.

"Tetapi PAS ketika itu telah mengeluarkan surat sokongan kepada Abdul Khalid sebagai menteri besar Selangor," katanya.

Khalid berkata beliau tidak ingat tarikh tepat pertemuan tersebut tetapi menyatakan hanya beberapa hari selepas pilihanraya.

"Kalau tidak silap saya, pada 10 atau 11 Mac dan tempatnya di Kuala Lumpur," katanya sambil menambah perbincangan tersebut telah diatur oleh pihak ketiga.

"Tetapi saya tidak tahu siapa pihak ketiga itu," katanya lagi, mengulas kenyataan perdana menteri Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi semalam bahawa beliau telah mengadakan pertemuan sebanyak tiga kali dengan pemimpin PAS.

Umno diwakili Abdullah sebagai presiden dan bekas menteri besar Selangor, Datuk Seri Dr Mohamad Khir Toyo.

Manakala PAS pada awalnya bersetuju menghantar presidennya Datuk Seri Abdul Hadi Awang, timbalannya Nasharuddin Mat Isa dan pesuruhjaya PAS Selangor, Datuk Dr Hassan Ali.

Bagaimanapun, tambah Khalid, penyertaan Abdul Hadi tidak direstui pucuk pimpinan PAS kerana beliau seorang pemimpin tertinggi parti, manakala Dr Hassan diketepikan kerana telah mengadakan pertemuan awal dengan Dr Mohamad Khir.

"Berikutan itu, saya dipilih menggantikan Dr Hassan dan Mustafa menggantikan Abdul Hadi," katanya lagi.

Sementara itu, Mustafa berkata, perbincangan tersebut diadakan dengan kebenaran parti bagi membincangkan kepentingan orang Melayu dan Islam.

Katanya, kedua-dua parti berbincang mengenai kedudukan orang Melayu Islam sekarang dan nasib mereka sekarang ini.

Pengarah pilihanraya PAS itu berkata, parti itu bebas mengadakan perbincangan dengan Umno tanpa memaklumkan terlebih dahulu kepada PKR, rakan utama Pakatan Rakyat.

"Masa (Datuk Seri) Anwar (Ibrahim) jumpa SAPP, beliau tidak beritahu kita. Semua bebas berjumpa (komponen BN)," katanya ketika ditemui di ibu negara hari ini.

Dalam satu kenyataan lewat malam tadi, Abdul Hadi mendedahkan pertemuan pertama itu yang diketuai Nasharudin Mat Isa dan ia telah dimaklumkan kepada majlis syura dan jawatankuasa pusat PAS.

"Berikutan itu Majlis Syura Ulamak PAS telah mengambil ketetapan bersetuju sebulat suara merestui presiden, timbalan presiden dan setiausaha agung PAS bagi mempertingkatkan usaha yang bersungguh-sungguh dalam menyatupadukan umat Islam dan rakyat Malaysia berlandaskan Islam," katanya dalam kenyataan tersebut.

Sementara pertemuan kedua diadakan di bangunan Parlimen antara Nasharudin dengan Abdullah - masa tidak disebut.

Laman web akhbar mingguan Siasah pula memetik kenyataan Khalid yang menyebut nama Dr Hassan tidak disenaraikan untuk ikut serta demi mengelak "pertembungan kepentingan."

Abd Khalid sebelum ini pernah mendedahkan, sejurus selepas keputusan Selangor jatuh ke tangan Pakatan Rakyat, Dr Hassan pernah mengadakan rundingan dengan Dr Mohamad Khir.

"Kerana itu, saya dimasukkan untuk menggantikan Dr Hassan untuk mengelakkan bertembung kepentingan berlaku," Abd Khalid, yang juga timbalan pesuruhjaya PAS Selangor, dipetik sebagai berkata.

Pada peringkat awalnya, lapor blog rasmi akhbar itu lagi, beliau tidak bersetuju dengan pertemuan itu tetapi selepas perbincangan, wakil-wakil PAS bersetuju bertemu dengan pemimpin BN di sebuah rumah kerajaan berhampiran bangunan Parlimen.

"Yang pasti tidak ada langsung dalam perbincangan sesama pimpinan PAS, pergi jumpa dengan pimpinan Umno ini untuk bekerjama dengan mereka. Yang ada untuk memenuhi janji dan mendengar apa mereka nak tawarkan.

"Jadi kami dengar dan kata ya ya… tetapi kami tak boleh buat keputusan, kena bawa kepada parti dahulu," jelas Khalid lagi.

Mengulas sebab jemputan itu dibuat oleh Umno, Abd Khalid berkata, ia bermula dengan kerisauan Umno akibat kemenangan besar DAP di Selangor dan hubungannya dengan nasib orang Melayu.

Mengulas lanjut pendedahan Abdullah, Khalid menyifatkan tindakan perdana menteri itu menimbulkan isu ini di media boleh mencipta keraguan dalam kalangan komponen Pakatan.

Beliau menambah, dengan itu orang Sabah dan Sarawak akan berfikir dua tiga kali sebelum masuk gabungan pembangkang.

"(Kerana) mereka fikir PAS pun lompat Umno," katanya.

Bagaimanapun, ahli parlimen itu menafikan pertemuan PAS-Umno akan menyebabkan perpecahan dalam kalangan pemimpin PAS.

Naib presiden PAS Datuk Husam Musa semalam berkata, kenyataan Abdullah mengenai rundingan dua parti itu bertujuan "menabur benih perpecahan" dalam PAS.

Husam, yang juga exco kerajaan Kelantan, menegaskan PAS tidak mampu berpecah semata-mata untuk memenuhi impian perdana menteri mendapatkan "keldai korban" yang boleh ditunggang, walaupun sementara.

"Pengumuman sebelah pihak oleh Abdullah tentunya ada motif tersirat. Jujurkah Abdullah apabila beliau umumkan pemimpin decision-makers (pembuat keputusan) PAS telah tiga kali menemui beliau?

"Atau beliau sedang memainkan PAS dengan satu strategi politik dengan umpan yang enak? Sekurang-kurang, dalam keadaan terlalu terdesak, beliau boleh mencapai matlamat politik jangka pendek," katanya.

Tiada ulasan: