Isnin, 21 Julai 2008

(Dikemas kini)

Muzakarah: 3 pemimpin PAS bertemu Pak Lah 3 kali, PKR pun sedia jika bawa manfaat
Oleh G. MANIMARAN dan ZANARIAH ABD. MUTALIB


PUTRAJAYA: Perkembangan terbaru dalam isu syor muzakarah Umno-PAS!

Hari ini, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi mengesahkan beliau telah pun mengadakan pertemuan dengan pemimpin-pemimpin PAS sebanyak tiga kali bagi membincangkan soal agama Islam dan perpaduan orang Melayu.

Ia turut disahkan oleh dua pemimpin kanan PAS masing-masing Presidennya, Datuk Seri Abdul Hadi Awang dan Timbalannya, Nasharudin Mat Isa kepada mStar Online.

Parti Keadilan Rakyat (PKR) juga menyatakan kesediaan jika ia boleh memanfaatkan Islam dan semua.

Abdullah yang juga Presiden Umno bagaimanapun enggan menyatakan bila pertemuan itu diadakan dan pemimpin-pemimpin yang menyertai pertemuan tersebut.

Bagaimanapun jelas beliau, pertemuan dengan pemimpin peringkat tinggi itu tidak disertai oleh Mursyidul Am parti itu, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat, yang juga Menteri Besar Kelantan.

"Saya dah ada pertemuan sebenarnya, dan pertemuan ini pada peringkat awal. Tak perlulah saya bagi maklumat yang lain, nanti saudara buat spekulasi yang bukan-bukan.

"Nik Aziz tak ada, itu saya boleh katalah, yang lain tak boleh tanya....(pertemuan) pada peringkat orang yang boleh membuat keputusan," kata beliau.

Terdahulu beliau merasmikan Majlis Pengisytiharan Suruhanjaya Koperasi Malaysia dan Sambutan Hari Koperasi Negara 2008 di sini.

Beliau berkata, pemimpin PAS yang menghadiri perjumpaan itu adalah "orang yang boleh membuat keputusan" yang yang seakan memberi gambaran bahawa antara yang terlibat dalam muzakarah itu ialah Abdul Hadi.

Tetapi Abdul Hadi kemudian memberitahu mStar Online bahawa beliau tidak hadir, sebaliknya diwakili tiga pemimpin kanan yang lain termasuk Nasharudin.

Isu muzakarah mula diperkatakan sejak dua bulan lalu.

Dalam temu bual dengan Harakah, Abdul Hadi juga mendedahkan bahawa usaha ke arah muzakarah kedua-dua parti sudahpun dimulakan.

Abdul Hadi menerusi wawancara itu menyatakan bahawa Pas berhak mengadakan rundingan bersama UMNO tanpa perlu merujuk dengan manamana parti dalam pakatan pembangkang untuk menyampaikan mesej Islam.

Dalam kenyataan semalam, kata Abdullah, perpaduan Melayu perlu diperkukuhkan kerana mereka menghadapi pelbagai cabaran baru.

Abdullah berkata beliau juga mahu melihat perpaduan di kalangan masyarakat Islam negara ini kerana orang Melayu tidak dapat dipisahkan.

Pada sidang media pagi ini, ketika ditanya sama beliau ada meletakkan syarat-syarat berhubung pertemuan itu, Abdullah berkata, itu semua tidak perlu dan pada peringkat ini, kedua-dua pihak hanya mahu mengadakan perbincangan antara mereka tanpa kehadiran pihak ketiga.

Kata beliau, perpaduan masyarakat Islam Malaysia menyumbang kepada imej dan perpaduan lebih baik ummah Islam dunia.

Katanya, antara isu yang dibincangkan adalah berhubung hal agama iaitu supaya tidak timbul perbalahan berhubung hal-hal yang berkaitan dengan Islam.

“Kita sudah muafakat apa yang perlu dijalankan dan jangan bergaduh atas isu agama misalnya.

“Kalau hal agama jadi isu politik, dia akan bawa masalah... Itu satu tajuk, ada tajuk lain..tak payahlah saya huraikan,” katanya.

Abdullah juga berkata, perjumpaan itu tidak membincangkan apa-apa kerjasama dengan pihak lain termasuk daripada PKR dan DAP.

Sementara itu, dalam pertemuan dengan mStar Online di Bukit Segambut, Presiden PKR, Datuk Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail telah menyifatkan muzakarah antara Umno dan PAS yang diperkatakan bukan satu masalah bagi Pakatan Rakyat yang dianggotai PKR, PAS dan DAP.

Malah, kata beliau, PKR juga bersedia untuk berbincang dengan Umno jika usaha itu boleh membawa kebaikan masyarakat Melayu dan negara.

"Sebab apa, kita dalam Malaysia, kita hendak yang terbaik untuk rakyat... macam debat (kenaikan harga minyak pada Selasa lalu), antara Keadilan dan Umno. Kita hendak berbincang boleh...," kata beliau dalam temu bual sehari selepas Datuk Seri Anwar Ibrahim dibebaskan atas jaminan polis.

Ketua Pembangkang di Parlimen itu berkata, PKR juga bersedia berbincang dengan Umno tetapi biarlah bersifat 'secara terbuka'.

"Kita hendak berbincang boleh, tapi tengoklah cara mana Menteri (Penerangan, Datuk Ahmad Shabery Cheek) bercakap, tak ada apa-apa isu, serang soal peribadi Anwar... apa kena-mengena dengan kejadian tahun 74 (demonstrasi)," katanya.

Mengenai muzakarah antara Umno-PAS, Dr. Wan Azizah memberitahu, "tidak apa-apa, kalau PAS, dan sesiapa pun (berbincang)."

"Kalau bercakap mengenai isu Melayu, Islam, apakah tidak, kita komponen parti (Pakatan Rakyat) itu menghalang?... Tidak, kita boleh bercakap tentang itu, diberitahu kepada (kami) oleh PAS, DAP mengetahui perkara ini, tidak menjadi masalah," katanya.

Dr. Wan Azizah dan Naib Presiden PKR, Mohd. Azmin Ahli pernah menemui Abdullah dua kali sejak isu dakwaan terbaru dihadapi Anwar sejak hujung bulan lalu.

Sementara itu, Nasharudin ketika dihubungi mStar Online hari ini, turut mengakui perkara itu namun enggan mengulas lanjut.

"Saya tidak menafikan apa yang dikatakan Pak Lah (berhubung perjumpaan sebanyak tiga kali) itu betul.

"Bagaimanapun, saya tidak dapat mengulas lebih kerana PAS akan mengeluarkan kenyataan berhubung hal itu esok," katanya.

Tiada ulasan: