Selasa, 22 Julai 2008

Ahli PBT Selangor azam majukan rakyat
Saidah Hairan


Kesungguhan dan ketegasan Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim untuk membawa perubahan terhadap rakyat Selangor diterjemahkan dalam pemilihan ahli Majlis Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) bagi penggal 2008/2009.

Dalam pemilihan itu, beliau tidak membenarkan ahli Parlimen dan Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) menjadi ahli Majlis kerana dibimbangi mempunyai agenda politik.

Pelantikan dua orang wakil OKU, Anthony Siva Balan Thanasayan dan Gurdip Kaur@Rina daripada Badan Latihan dan Hidup Berdikari; Ketua Wanita JIM Pusat, Prof Madya Dr Harlina Halizah Siraj; Pengarah Komunikasi Persatuan Pengguna, Mohamad Yusof Abd Rahman; Peguam Latheefa Beebi Koya adalah antara golongan profesional dan NGO yang turut dipilih menjadi ahli PBT.

Inilah antara perbezaan dalam pemilihan pelantikan ahli PBT yang tidak pernah diamalkan oleh BN selama mentadbir negeri Selangor.

Dalam ucapan perasmian, Abdul Khalid mengingatkan seluruh ahli PBT supaya tidak menjadikan jawatan itu sebagai satu peluang untuk memenuhi kepentingan diri, rakan-rakan atau saudara mara.

Pentadbiran kerajaan Pakatan Rakyat, ujarnya tidak mengamalkan budaya kronisme, nepotisme dan komisen 10 peratus jauh sekali menyediakan banglo persinggahan untuk ahli PBT.

"Saya mengingatkan kepada semua ahli PBT bahawa mereka tidak mempunyai apa-apa keistimewaan dalam hal projek dan sebagainya," tegasnya.

Peringatan Menteri Besar itu disambut baik oleh seluruh ahli PBT yang menerima watikah pelantikan di Dewan Jubli Perak, Shah Alam, Sabtu, 5 Julai lalu.

Antara ahli PBT yang sempat ditemui ialah Ketua Pemuda PAS Negeri Selangor, Ustaz Sallehen Mokhyi yang juga bekas Adun Sabak Bernam.

Menurut beliau, hampir semua kalangan ahli PBT yang dipilih mempunyai kemahiran dalam bidang masing-masing.

Beliau yang ditemui di luar dewan berkata, paling penting adalah keterlibatan PAS dalam PBT untuk melaksanakan polisi parti dan prinsip kerajaan Pakatan Rakyat yang mahu ketelusan dalam pengurusan pentadbiran.

Sebab itu tambahnya, Ahli Parlimen dan Adun tidak dilantik sebagai ahli PBT.

"Pemilihan ahli PBT di kalangan bukan wakil rakyat menunjukkan tidak ada sebarang kepentingan daripada sudut pengagihan projek dan sebagainya," tegas beliau.

Beliau berjanji akan menumpukan kerja bagi memastikan masyarakat di daerah Sabak Bernam puas hati dan selesa dengan pentadbiran kerajaan baru di bawah Pakatan Rakyat.

Katanya, sudah pasti rakyat Selangor mahu melihat perubahan perjalanan ahli PBT dan kerajaan dalam melaksanakan pengurusan di peringkat kerajaan tempatan.

"Kita berharap projek kerajaan negeri dapat turun hingga ke peringkat rakyat bawahan," tegasnya.

Lima ahli PAS yang terpilih menjadi ahli PBT di Majlis Daerah Sabak Bernam (MDSB) ialah Siti Latifah Maulud; Yang Dipertua PAS Sungai Besar, Ustaz Fadzlin Taslimin; Ketua Pemuda PAS, Zulkifli Ibrahim dan bekas Bendahari PAS, Haji Noordin Atan.

Bagi wakil NGO dan profesional, Dr Harlina yang tidak terlibat dalam dunia politik sepenuh masa menganggap pelantikan itu sebagai peluang untuk melebarkan khidmat terhadap masyarakat.

"Saya perlu berani membuat perubahan dan akan mencuba sebaik mungkin. Saya yakin mampu melakukan khidmat untuk masyarakat," katanya.

Beliau yang berasal dari Sabak Bernam bersedia memikul tanggungjawab tersebut sekalipun Sabak merupakan daerah yang termundur di negeri Selangor.

Katanya, kawasan itu mundur daripada sudut kepermekasaan wanita dan kekalahan dalam pilihan raya lalu mungkin disebabkan jentera pilihan raya kurang mendampingi masyarakat di peringkat bawahan.

"Jadi kita kena buat mulai sekarang," tegasnya.

Ketua Muslimat PAS Negeri Selangor, Wan Hasrina Wan Hassan berkata, pelantikan sebagai ahli PBT bukan suatu yang boleh dibanggakan tetapi memikul tanggungjawab berat.

Beliau berkata, Menteri Besar mengharapkan ahli PBT dapat melaksanakan tugas selaras dengan dasar yang sedang dilakukan oleh kerajaan Pakatan Rakyat sekarang.

Menurutnya, dua kertas kerja yang dibentang dalam persidangan ahli PBT menekankan tentang tanggungjawab besar sebagai ahli PTB yang mewakili Adun dalam menjalankan tugas.

Wan Hasrina yang juga Timbalan Ketua Muslimat PAS Pusat menyedari peranan ahli PBT kerana selama di bawah pentadbiran Umno-BN, mereka seolah-oleh tidak berfungsi.

Beliau yakin ahli PBT yang dilantik di bawah kerajaan Pakatan Rakyat akan membuktikan perubahan dan perbezaan berbanding dengan ahli PBT di bawah pentadbiran BN.

Ahli KeADILan Ijok, Azmi Muhamad bersyukur dan tidak menyangka diberi kepercayaan penuh oleh Menteri Besar untuk menjadi ahli Majlis Daerah Kuala Selangor.

"Ini satu amanah dan tanggungjawab yang wajar saya laksanakan, insya-Allah saya akan lakukan sebaik mungkin untuk membantu membangunkan Kuala Selangor," katanya.

Dengan pengiktirafan itu beliau akan berusaha membantu pentadbiran kerajaan negeri untuk menghapuskan penyelewengan yang dakwanya menjadi amalan pimpinan Umno terdahulu.

Selepas kemenangan Khalid, Ijok sudah ada perubahan dan kemajuan seperti pembinaan dua jejambat, lampu jalan dan pemberian beras untuk masyarakat miskin, katanya.
Seramai enam ahli PAS, enam ahli KeADILan dan lima DAP dipilih menjadi ahli Majlis Daerah Kuala Selangor.

Naib Ketua Muslimat PAS Negeri Selangor, Maryam Abd Rashid menerima pelantikan ahli PBT itu sebagai satu amanah dan akan menunaikan tanggungjawab seiring dengan pentadbiran kerajaan negeri Selangor.

Beliau tidak keberatan memikul amanah besar itu memandangkan sudah biasa melakukan kerja sosial dan khidmat terhadap masyarakat terutama ketika penduduk ditimpa bencana.

Katanya, kerja-kerja khidmat terhadap masyarakat akan lebih mudah dilaksanakan setelah diiktiraf menjadi ahli Majlis.

"Saya tidak pernah terfikir jauh sekali menyangka tersenarai dalam Majlis Perbandaran Shah Alam iaitu majlis yang terbesar di negeri Selangor," katanya.

Yang Dipertua PAS Kawasan Sungai Besar, Ustaz Fadzlin Taslimin yang turut dipilih menjadi ahli PBT dalam Majlis Daerah Sabak Bernam bersedia menjalankan tugas sebaik mungkin.

Katanya, memang sudah menjadi dasar PAS untuk menyumbangkan idea dan ilmu serta kebolehan kepada masyarakat.

"Dengan pelantikan ahli PBT ini saya fikir ia membuka ruang yang lebih luas untuk berkhidmat atau berkorban demi kebahagiaan masyarakat," jelasnya.

Selepas pilihan raya beliau berkata, masyarakat di Sungai Besar lebih memahami perjuangan PAS dan bersedia menerima serta mahu melihat perubahan yang akan dilakukan oleh kerajaan baru sekarang.

Sementara itu Pengarah Unit Amal Pusat, Jamaluddin Elias berkata, sebelum Pakatan Rakyat mentadbir negeri Selangor memang tidak terfikir untuk menjadi ahli Majlis.

Beliau berkata, selepas kemenangan bukan satu pengharapan untuk menjadi ahli PBT tetapi sebagai pemimpin dalam PAS yang sering mempersoalkan ketidaktelusan kerajaan BN ketika itu, jawatan yang disandang merupakan ruang untuk melaksanakan segala cadangan.

Jamaluddin berazam melaksanakan segala cadangan dan kritikan yang ditujukan kepada kerajaan BN terdahulu.

"Insya-Allah saya akan terjemahkan bukan saja pembangunan dalam bentuk jalan raya dan projek tetapi juga pembangunan rohani (insan)," katanya.

Ini kerana jelasnya, penyalahgunaan kuasa dan penyelewengan berpunca daripada kecuaian sama ada melalui pegawai kerajaan mahu pun rakyat.

Dalam pembentangan kertas kerja ketika sesi persidangan, ahli PBT kata beliau telah didedahkan dengan isu jenayah dan keruntuhan akhlak generasi muda.

Perkara itu sebenarnya menggerunkan ahli PBT, tetapi beliau yang dilantik sebagai ahli Majlis Daerah Klang berazam akan berusaha mengatasi masalah tersebut daripada berleluasa.

Beliau yakin kerja ahli PBT lebih mudah dilaksanakan dengan bantuan jentera kerajaan.- tajdid_

Tiada ulasan: